Samling komited kurangkan kesan pelepasan karbon

Wisma Samling
Wisma Samling
A
A
A

KERAJAAN negeri Sarawak yang menyasarkan untuk menempatkan negeri itu di barisan hadapan dalam melaksanakan mitigasi perubahan iklim, mengorak langkah positif dengan penganjuran Persidangan Karbon Asia 2023 (ACC2023).

Dianjurkan oleh Argus Media dengan kolaborasi Bersama Kerajaan Sarawak dan penaja Bersama Samling Group serta disokong oleh Business Events Sarawak dan Petroleum Sarawak Berhad, ACC2023 akan berlangsung pada 15 hingga 16 Mac 2023 di Pullman Hotel di Kuching, Sarawak.

Persidangan itu adalah ideal bagi pendatang baharu industri sehingga ke peneraju pasaran yang mana peserta berpeluang untuk berinteraksi, belajar dan menjalin rangkaian dengan pakar-pakar mengenai kaedah menangani karbon.

Bukan seperti persidangan tradisional, acara itu juga menghubungkan pemain industri, pakar industri serta rakan kongsi swasta dan awam, menerangkan keperluan penting untuk melibatkan diri dan bekerjasama bagi menyumbang kepada pasaran karbon.

Persidangan itu juga selaras dengan komitmen negeri Sarawak mencapai pelepasan sifar bersih dan memacu ekonomi hijau.

Malah, Sarawak adalah negeri pertama di Malaysia yang menggubal perundangan membenarkan perniagaan teroka karbon dan alam semula jadi, menunjukkan usaha kerajaan negeri untuk berada di barisan hadapan dalam mitigasi perubahan iklim.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni dalam satu kenyataan berkata, adalah berguna untuk mempelajari pandangan daripada pakar terkemuka mengenai hala tuju masa depan pasaran karbon Asia dan kesan ke atas pasaran karbon global.

"Diharap idea dan amalan terbaik yang dikongsi pada persidangan ini dapat disesuaikan untuk Sarawak,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Samling, Lawrence Chia berkata, Samling Timber menyokong penuh pandangan jauh dan komitmen kerajaan negeri Sarawak untuk mengurangkan kesan pelepasan karbon, memudahkan pemuliharaan dan pemeliharaan hutan sambil membangunkan aliran hasil baharu melalui perdagangan karbon, penyimpanan karbon dan tenaga boleh diperbaharui.

Sebagai pemain utama dalam industri perkayuan, katanya, mereka bertanggungjawab untuk memacu perbualan dan memberi inspirasi kepada tindakan.

"ACC2023 menyediakan platform yang ideal, menghimpunkan pemegang kepentingan antarabangsa dan tempatan di bawah satu bumbung. Keterukan darurat iklim memerlukan kita untuk menggunakan setiap alat berkualiti tinggi yang boleh digunakan.

"Dalam industri perkayuan, bekalan kayu asli yang semakin berkurangan bermakna kita kini perlu memberi keutamaan kepada pemuliharaan dan pemeliharaan serta bergerak ke arah sumber hasil yang lebih mampan," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, mereka juga percaya pembiayaan kredit karbon mempunyai potensi untuk syarikat perkayuan dan industri lain mengubah operasi mereka dan memacu sumber pendapatan yang mampan.

"Didorong oleh peningkatan permintaan daripada industri dan syarikat yang ingin mengimbangi pelepasan karbon, persidangan ini bertujuan untuk memberikan pandangan tentang pertumbuhan pasaran karbon dan memastikan pertumbuhan ini diuruskan secara bertanggungjawab dalam mencapai matlamat bersih-sifar," katanya.

Persidangan dua hari itu, yang akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menampilkan pakar-pakar global dari Malaysia, Indonesia dan Singapura, yang akan berkongsi pandangan mengenai rangka kerja kawal selia pasaran karbon serta masa depan pasaran karbon Asia Pasifik.

Ketua Projek Karbon Kumpulan Samling, Francois Blignaut akan menjadi penceramah pada sesi bertajuk 'Kajian kes: membongkar proses pembangunan dan pelancaran projek VCO berasaskan alam di Asia'.

Kumpulan syarikat Samling merupakan konglomerat Malaysia dengan pelbagai kepentingan perniagaan daripada pengurusan sumber hutan kepada ladang kelapa sawit, pembangunan hartanah dan perniagaan automotif di pelbagai negara di peringkat global.

Ditubuhkan pada tahun 1963 dan beribu pejabat di Sarawak, syarikat itu mempunyai lebih daripada 20,000 pekerja berdedikasi di seluruh jejak antarabangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!