LHDN sasar 50,000 pengakuan sukarela, taksiran cukai RM1 bilion
KUALA LUMPUR - Program pengakuan sukarela Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang akan bermula pada 1 Jun ini menyasarkan 50,000 pembayar cukai baharu dan sedia ada dengan taksiran cukai dianggarkan berjumlah RM1 bilion.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, bilangan dan anggaran pendapatan itu adalah berdasarkan pengenalan pemakaian Nombor Pengenalan Cukai iaitu pendaftaran kepada warganegara berusia 18 tahun ke atas.
"Program ini dilaksanakan dengan tujuan menggalakkan pembayar cukai tampil dengan sukarela dan mengambil peluang ini bagi melaporkan pendapatan mereka tanpa sebarang penalti atau penalti pada kadar sifar peratus.
"Program ini akan dilaksanakan oleh LHDN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bermula 1 Jun 2023 hingga 31 Mei 2024," katanya pada sidang media di Parlimen pada Isnin.
Justeru, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menyarankan pembayar cukai supaya tidak menunggu di saat akhir bagi mengelakkan daripada terlepas peluang kerana aktiviti penguatkuasaan audit dan siasatan akan berjalan seperti biasa.
“Saya ingin mengulangi bahawa LHDN akan sentiasa membantu dan mengajar pembayar cukai agar terus cakna dan celik berkenaan tanggungjawab percukaian.
“Ini berbeza dengan persepsi sebelum ini yang mana LHDN memburu dan mengejar pembayar cukai,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!