Geng penjenayah bertopeng, berparang samun tiga rumah
SEREMBAN - Polis sedang memburu empat penjenayah bertopeng dan bersenjatakan parang yang terlibat dalam tiga kejadian samun di sekitar Rantau dan Mambau di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, polis menerima laporan daripada mangsa seorang lelaki dan dua wanita pada jam 8 pagi hingga 8.38 pagi berhubung kejadian tersebut.
"Hasil siasatan mendapati, ketika kejadian semua mangsa berada di dalam rumah masing-masing sedang berehat. Keempat-empat suspek masuk ke dalam rumah dengan cara memanjat pagar dan masuk melalui pintu utama yang tidak berkunci.
"Suspek bertopeng dan bersenjatakan parang itu telah melarikan sebuah kereta jenis Toyota Vios, barang kemas dan juga wang tunai milik mangsa," katanya dalam kenyataan kepada media pada Isnin.
Menurutnya, suspek menggunakan senjata parang untuk menakutkan mangsa dan pada masa sama menggeledah rumah mangsa dengan mengambil barang-barang berharga.
Sehubungan itu katanya, tiga kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata.
"Polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek untuk berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Zafira Mohd Yusop di talian 013-2386281.
"Orang ramai juga dinasihatkan berhati-hati, sentiasa mengunci pintu rumah dan tidak mendedahkan diri kepada risiko jenayah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!