Biar kerja tak popular, asalkan tak menganggur

Laporan Sinar Harian pada Sabtu mengenai tukang jahit OKU, Mohd Alamin Jais dari Terengganu yang menyifatkan Ramadan sebagai limpahan rezeki untuknya.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu mengenai tukang jahit OKU, Mohd Alamin Jais dari Terengganu yang menyifatkan Ramadan sebagai limpahan rezeki untuknya.
A
A
A

BARU-baru ini penulis berkesempatan hadir satu program yang melibatkan kanak-kanak.

Dalam program tersebut, pengacara bertanyakan soalan tentang cita-cita mereka pada masa depan.

Jawapan klise yang biasa dijawab adalah doktor, guru, tentera, juruterbang, polis dan seorang daripada mereka dengan lantang malah bangganya menjawab nak jadi petani.

Sebaik ditanya mengapa memilih untuk jadi petani, jawapannya mudah: sebab bapanya seorang petani.

Begitulah kanak-kanak yang masih belum mengerti hala tuju masing-masing selagi belum dewasa.

Malah tidak dinafikan, ada ibu bapa dan penjaga yang secara tegasnya mahu anak-anak mereka bekerja dalam bidang tertentu sahaja.

Tetapi apabila dewasa, mesti mereka tidak sangka yang cita-cita itu mungkin tidak sama dengan sekarang malah turut dipersoalkan oleh ibu bapa kerana bimbang akan masa depan terutamanya pekerjaan yang tidak popular.

Bagaimanapun, tidak semestinya pekerjaan yang tidak popular ini tidak bagus, walaupun ada yang berdepan dengan persepsi negatif bahawa pekerjaan itu tidak mampu mengubah taraf hidup.

Contohnya menjadi tukang jahit, pekerjaan itu ternyata memberi manfaat kepada seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU), Mohd Alamin Jais, 51, di Terengganu.

Malah katanya, kehadiran bulan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi memberi sinar kegembiraan dan limpahan rezeki buatnya.

Ini kerana pendapatannya boleh mencecah sehingga RM100 sehari susulan peningkatan pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat beliau khususnya dalam jahitan jean sama ada membaiki jean, mengecil, memotong atau menampal seluar.

Begitu juga dengan penghantar makanan, usahawan pelbagai produk dan peniaga.

Golongan ini juga mampu menjana pendapatan yang lumayan malah ia antara pekerjaan yang menjadi pilihan graduan institusi pengajian tinggi sementara mendapat pekerjaan yang lebih baik setaraf dengan kelayakan mereka.

Antaranya seorang graduan sekolah penerbangan yang berniaga pisang keju di Kajang, Selangor, Adib Aidil, 24, yang tamat pengajian pada tahun 2020, namun rezekinya menjadi juruterbang belum berpihak kepadanya.

Enggan mensia-siakan masa yang ada, dia nekad berniaga pisang keju di hadapan restoran ibu bapanya sejak Januari 2021.

Selain itu, paling nyata apabila negara berdepan dengan wabak Covid-19 ramai yang bertukar profesion selepas hilang pekerjaan dan gaji tetap masing-masing.

Sehingga kini, pekerjaan yang asalnya sekadar untuk menambah pendapatan sudah dijadikan pekerjaan tetap yang mungkin sebelum ini bukanlah pekerjaan yang diidamkan sewaktu kecil.

Apa yang jelas, walaupun apa juga pekerjaan yang dilakukan tidak seharusnya dipandang rendah malah perlu diberikan sokongan dan galakkan oleh keluarga asalkan mendatangkan rezeki yang halal.

Kerajaan juga telah berjanji untuk membantu golongan tersebut melalui pelbagai inisiatif daripada kerajaan seperti dalam Belanjawan Malaysia Madani 2023 baru-baru ini.

Usahawan mikro dan penjaja kecil disediakan kemudahan pinjaman di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dengan dana yang tersedia berjumlah RM1.7 bilion.

Agensi-agensi kerajaan akan terus menyediakan pelbagai kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk manfaat usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan nilai keseluruhan sehingga RM40 bilion.

Justeru, janganlah memandang rendah apa juga pekerjaan dan sebolehnya untuk tidak memilih kerja asalkan tidak menganggur.

Tidak salah juga memilih pekerjaan yang berkaitan kemahiran sebab seorang akauntan juga pernah berhenti kerja semata-mata ingin menjadikan hobinya dalam bidang permotoran sebagai kerjaya.

* Norafidah Assan ialah wartawan Sinar Harian Negeri Sembilan

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!