Pemuda UMNO perlu lantang bersuara
JOHOR BAHRU – Calon Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah berazam untuk meneruskan usaha menaikkan kembali imej Pemuda UMNO sebagai sayap penting dalam parti berkenaan.
Menurut Ketua Pemuda UMNO Johor itu, beliau mahu mengembalikan ‘kelantangan’ bersuara daripada pergerakan berkenaan selain bertindak sebagai ‘semak dan imbang’ demi kepentingan rakyat.
“Walaupun sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan di peringkat pusat, saya akan tetap meneruskan usaha menaikkan imej Pemuda UMNO sebagai sayap penting dalam parti.
“Sebagai individu yang pernah menerajui sayap Pemuda UMNO Negeri Johor sejak 2018, banyak pengalaman yang saya lalui dan boleh dijadikan naskah berguna untuk saya garap apabila diberikan kepercayaan oleh perwakilan sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO.
“Bergerak dalam parti yang ketika itu dalam situasi paling getir selepas kekalahan PRU-14 pada 2018... bergerak sebagai pembangkang, sehinggalah berada semula dalam kerajaan dan kemudian berlaku PRN (Pilihan Raya Negeri) di Johor dengan kemenangan besar BN, tentu sekali banyak ruang penambahbaikan yang boleh saya lakukan,” katanya kepada Sinar Harian.
Untuk rekod, Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pemuda dan Exco Puteri UMNO dijadualkan berlangsung serentak di seluruh negara pada 11 Mac depan.
Sementara itu, Mohd Hairi yang juga merupakan Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri bertekad menjadikan Pemuda UMNO sebagai penggerak ‘politik pusat khidmat’ kepada rakyat.
Katanya, tekad berkenaan dibuat berdasarkan kepada pengalaman bergerak sebagai pembangkang sebelum ini.
“Di peringkat akar umbi, saya akan mengambil teladan bergerak sebagai pembangkang sebelum ini yang membuatkan saya terus bertekad menjadikan Pemuda UMNO sebagai penggerak ‘politik khidmat’ kepada rakyat di bawah.
“Selain itu, kredibiliti Pemuda UMNO sebagai ‘kilang’ yang menghasilkan kepimpinan baharu dalam parti keramat ini perlu diteruskan... saya juga yakin dan percaya UMNO tidak ketandusan pelapis bagi mewarisi kepimpinan parti ini jika proses ‘scouting’ dan pembentukan sahsiah jati diri dalam kalangan Pemuda UMNO diperkasa dan ditambah baik.
“Inilah sebenarnya asas yang perlu diperkukuhkan yang boleh menjadikan rakyat ingat dan tidak lupa akan jasa UMNO,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!