Melambung dirempuh kereta langgar lampu isyarat
KLANG - Seorang pegawai perkhidmatan pelanggan melambung apabila motosikal ditungganginya dilanggar sebuah kereta yang melanggar lampu isyarat merah di Jalan Batu Unjur, petang Isnin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian dikatakan berlaku jam 6.50 petang itu tular di media sosial berdasarkan rakaman kamera papan pemuka sebuah kereta.
Katanya, berdasarkan hasil siasatan awal kereta jenis Proton Wira itu yang dipandu peniaga ikan berusia 20 tahun tidak memberhentikan kenderaannya semasa lampu isyarat merah dari Pandamaran ke Taman Sentosa.
“Ini menyebabkan kereta itu melanggar mangsa dikenali AK Jonathan, 27, yang dalam perjalanan ke Bukit Tinggi dari Taman Chi Liung," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, mangsa cedera di bahagian belakang badan selain patah jari kaki kanan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!