Bantu UMNO tubuh, laksana sekolah politik - Shahaniza
KUANTAN - Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin mahu membantu parti dalam menubuhkan dan melaksanakan sekolah politik bagi parti itu.
Shahaniza yang juga bekas Exco Pahang berkata, itu antara pembaharuan yang akan dilakukan, sekiranya terpilih dan dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO (MKT) pada pemilihan parti kali ini.
"Saya boleh membantu UMNO dalam penubuhan dan perlaksanaan sekolah politik. Saya sudah pun ada Tiktok Sekolah Politik DSSS dan ideanya di beri oleh mahasiswa di Maran," katanya kepada Sinar Harian.
Shahaniza antara pemimpin UMNO di Pahang yang mengesahkan akan bertanding jawatan MKT bagi penggal 2023-2026.
Beliau berkata, pembaharuan perlu dibuat bagi memastikan UMNO terus kekal relevan, bukan hanya kepada orang Melayu tetapi semua rakyat selain kembali menjadi pilihan orang muda.
"Saya mungkin tergolong dalam usia pertengahan tetapi saya menjadikan agenda ini (sekolah politik) mendekati anak muda sebagai antara gerak kerja utama saya," ujarnya.
Shahaniza berkata, pengalaman menempuh kekalahan dalam Pilihan Raya UMUM ke-15 (PRU15) kali ini perlu ditransform menjadi kelebihan.
"Saya dapat mengenal pasti punca dan kelemahan yang pastinya ada jalan untuk diperbaiki dan dilaksana bagi menghadapi PRU16," katanya.
Shahaniza, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul antara 2008 dan 2022, pernah berkhidmat sebagai Ketua Puteri Umno Pahang yang pertama antara 2001 hingga 2004.
Selepas itu, beliau dipilih sebagai Ketua Penerangan Puteri Umno antara 2004 dan 2009.
Bagaimanapun, pada PRU15, Shahaniza tewas dalam pertandingan empat penjuru bagi kerusi Parlimen Maran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!