Pendaki jatuh disahkan meninggal dunia
IPOH - Seorang pendaki warga emas yang parah di kepala selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Korbu, di Hulu Kinta, semalam berjaya dibawa keluar oleh pasukan bomba udara pagi ini.
Bagaimanapun mangsa, Lee Khian Seng, 60, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebaik sahaja helikopter yang membawanya mendarat di padang bola 2, Rejimen Renjer Diraja Kem Syed Putra di sini pada pukul 9 pagi.
Dalam kejadian sekitar jam 10 pagi semalam, Khian Seng dilaporkan terjatuh daripada ketinggian enam meter dan pengsan selepas cedera parah di kepala.
Mangsa dilaporkan sedang melakukan aktiviti pendakian di gunung berkenaan bersama 12 rakan pendaki dan 11 pemandu arah lain dan masuk ke kawasan berkenaan sejak Jumaat lalu.
Ketua Zon 1 Perak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Mohd Khairul Jamil berkata, operasi menyelamatkan mangsa telah dijalankan sejak semalam bagaimanapun unit udara Bomba tidak dapat menjalankan penyelamatan disebabkan faktor cuaca.
"Keadaan cuaca yang tidak baik menyebabkan operasi terpaksa dihentikan dengan empat anggota daripada Multi Skill Team (Musteam) telah ditempatkan di lokasi mangsa berada.
"Anggota Musteam ini bagaimanapun perlu berjalan selama lima jam untuk sampai ke lokasi mangsa berada," katanya dalam satu laporan di sini, hari ini.
Menurut Mohd Khairul, operasi menyelamat yang disambung hari ini berjaya membawa keluar mangsa namun dia disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
"Helikopter jenis Agusta 139 dari Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama tujuh anggota dihantar ke lokasi mangsa berada pada pukul 8.30 pagi.
"Mangsa kemudiannya di bawa keluar dari lokasi menggunakan helikopter berkenaan tetapi disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Mohd Khairul berkata, operasi berkenaan disertai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, polis, renjer Jabatan Perhutanan dan pasukan perubatan di mana ia tamat sepenuhnya jam 10 pagi.
Katanya, mangsa yang dibawa keluar dari puncak gunung dan dinaikkan ke dalam helikopter dengan menggunakan teknik ‘winching’ itu tiba di padang Rejimen Renjer Diraja, Kem Syed Putra setengah jam kemudian.
Anggota bomba berjaya membawa keluar mangsa dari Gunung Korbu bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!