Anwar adakan lawatan rasmi sulung ke Filipina

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi sulung ke Filipina selama dua hari bermula hari ini.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan memaklumkan, dalam lawatan itu, Anwar akan bertemu dengan presiden negara tersebut, Ferdinand Marcos Jr bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan kerjasama dua hala, antaranya kerjasama keselamatan, pertanian dan industri halal dan ekonomi digital.

"Kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

"Justeru, lawatan ini mencerminkan hubungan akrab antara Malaysia dan Filipina selaku jiran rapat serta negara anggota ASEAN," katanya.

Perdana Menteri akan diiringi oleh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Menurut kenyataan itu, lawatan itu juga akan memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk memperkasakan jaringan kerjasama dua hala.

Jelasnya, jaringan kerjasama itu adalah bertunjangkan kepentingan bersama, peningkatan kerjasama ekonomi dan politik, serta jalinan antara rakyat.

Perdana Menteri juga dijadualkan menyampaikan Syarahan Umum bertajuk '30 Tahun Selepas Gelombang Kebangkitan Asia: Pengajaran Strategik Buat ASEAN' di Universiti Filipina selain akan turut mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia.

Pada 2022, Filipina merupakan rakan dagangan dunia ke-15 terbesar Malaysia dan ke-5 terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM41.45 bilion (ASD9.42 bilion), dengan peningkatan sebanyak 20.1 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!