Kanada larang TikTok dalam semua peranti kerajaan

No Image Caption
A
A
A

TRENTON - Kanada mengharamkan TikTok dalam semua peranti kerajaan atas sebab keselamatan, dan ia mungkin menandakan permulaan tindakan lanjut terhadap aplikasi itu, kata Perdana Menteri Justin Trudeau pada Isnin.

"Ini mungkin langkah pertama, mungkin satu-satunya langkah yang perlu kami ambil, dengan setiap tindakan yang kami buat bertujuan memastikan keselamatan warga Kanada," kata Trudeau kepada pemberita sejurus selepas larangan itu diumumkan, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Kami memandang serius kebebasan bersuara, kebebasan warga Kanada mengikut kehendak mereka ketika dalam talian. Namun, kerajaan mempunyai prinsip yang sangat penting dalam perlindungan data, perlindungan keselamatan dan keselamatan warga Kanada yang akan sentiasa kami pertingkat," katanya.

Global Affairs Canada menghantar e-mel menasihati pekerjanya bahawa aplikasi platform perkongsian video itu kini diharamkan susulan semakan oleh ketua pegawai maklumat negara itu.

Larangan itu berkuat kuasa pada Selasa.

Kebimbangan terhadap aplikasi Tik Tok timbul apabila firma induk TikTok milik syarikat teknologi ByteDance Beijing, membenarkan kerajaan China mengakses maklumat peribadi pengguna TikTok.

Tindalkan itu diambil susulan siasatan ke atas TikTok yang diumumkan oleh kerajaan minggu lalu yang mendapati aplikasi itu menunjukkan tahap risiko terhadap privasi dan keselamatan yang tidak boleh diterima, kata Mona Fortier, presiden lembaga perbendaharaan dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sehingga kini tiada bukti bahawa maklumat kerajaan telah dikompromi.

Tindakan oleh kerajaan Kanada itu selari dengan tindakan beberapa kerajaan lain. Suruhanjaya Eropah dan Majlis Eropah melarang aplikasi itu dan majoriti pekerja persekutuan Amerika Syarikat (AS) juga dilarang menggunakan aplikasi itu dalam telefon kerajaan.

Kongres AS sedang mengkaji undang-undang yang akan mengharamkan TikTok di seluruh negara.

Denmark arah Ahli Parlimen alih keluar aplikasi TikTok

Sementara itu, Parlimen Denmark mengumumkan bahawa pihaknya mengarahkah ahli Parlimen dan semua kakitangan untuk mengalih keluar aplikasi TikTok daripada peranti mudah alih kerana bimbang 'risiko pengintipan'.

Langkah itu dibuat berikutan cadangan daripada Pusat Keselamatan Siber Denmark yang menggesa pegawainya mengalih keluar aplikasi tersebut selepas Suruhanjaya Eropah melakukan perkara sama untuk melindungi 'institusi' itu.

Parlimen berkata, pihaknya memutuskan untuk menasihati penggunaan TikTok dengan meminta ahli Parlimen dan kakitangan supaya membuat langkah sama.

"Terdapat risiko pengintipan semasa menggunakan TikTok, jadi kami menyesuaikan diri dengan sewajarnya," kata anggota Speaker, Soren Gade.

Platform ultra popular yang dimiliki syarikat ByteDance dari China telah mendapat perhatian tinggi dan ia sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kebocoran data dari seluruh dunia.

Sebelum ini Kongres Amerika Syarikat (AS) meluluskan larangan memuat turun Tik Tok di peranti kerajaan. Ia ditandatangani Presiden Joe Biden pada akhir Disember lalu.

Kerajaan Kanada pada awal minggu ini melarang memuat turun TikTok di semua telefon dan peranti lain susulan terdapat kebimbangan mengenai pengintipan. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!