AUKU: Perubahan dasar perlu ambil kira pelbagai aspek

Fadillah Yusof (tengah). - Foto Bernama.
Fadillah Yusof (tengah). - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebarang dasar dan perundangan kerajaan akan mengambil kira pelbagai aspek sebelum sesuatu keputusan dibuat termasuklah membabitkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pertimbangan sewajarnya akan dibuat selepas semua proses biasa selesai dilaksanakan.

“Bila kita berbincang berhubung kait dengan dasar dan perundangan sedia ada, memang kita kena ambil kira banyak perkara dan sudah pasti apa yang dicadangkan itu akan kita bawa melalui proses biasa.

“Perkara ini ini dilaksana bagi membolehkan (kita) dapat input daripada semua pihak yang berkepentingan sama ada perlu ditambahbaik, dimansuh atau diubah.

“Itu (sebarang keputusan) bergantung kepada apa sahaja penemuan yang akan dilaksanakan melalui sesi libat urus semua pihak berkepentingan,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang bertanya sama ada kerajaan akan memansuhkan AUKU dan cara bagaimana ia akan dilaksanakan berikutan wujud percanggahan kenyataan berhubung isu berkenaan.

Pada 24 Februari, menurut laporan sebuah portal, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Norden memaklumkan bahawa kerajaan tiada cadangan untuk memansuhkan AUKU.

Menurut Mohamed Khaled, undang-undang itu masih relevan terutama dalam soal pentadbiran universiti dan kerajaan juga terbuka untuk menambah baik serta melibatkan pihak berkepentingan dalam AUKU.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, telah mengeluarkan kenyataan dengan berjanji bahawa mahasiswa bebas mengkritik kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!