Warga asing guna kad pengenalan palsu, milik orang lain - JPN
PUTRAJAYA - Seramai 29 warga asing ditangkap menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain dalam satu serbuan di Puchong, Selangor semalam.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh berkata, setelah mendapat aduan awam serta melakukan risikan selama 10 hari, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya membuat satu serbuan di sekitar kawasan perindustrian Puchong pada jam 6 pagi.
Beliau berkata, menerusi operasi khas (Ops Pintas) yang disertai 17 pegawai penguat kuasa JPN itu, sebuah van penumpang membawa pekerja asing telah berjaya ditahan.
Kata beliau, hasil pemeriksaan terperinci dan penggeledahan kenderaan, JPN menjumpai 13 kad pengenalan palsu serta satu kad pengenalan milik orang lain.
"Ekoran daripada tangkapan Ops Pintas itu, pasukan telah membuat pemeriksaan susulan di kawasan Taman Perindustrian Puchong dan berjaya menahan 15 warga asing yang lain berasal dari Sulawesi, Medan serta Acheh, Indonesia menggunakan kad pengenalan palsu.
"Kesemua 29 orang yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan 26 perempuan, berusia antara 19 hingga 70 tahun.
"Hasil siasatan juga mendapati kesemua kad pengenalan palsu diperoleh dengan bayaran sebanyak RM300 daripada ejen yang tidak dikenali di Selangor," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, pihaknya kini menyasarkan untuk menumpaskan ejen yang dipercayai menjadi dalang kepada penjualan kad pengenalan palsu.
Beliau berkata, JPN sudah mempunyai petunjuk kepada penglibatan ejen dan runner yang diupah bagi tujuan penjualan kepada warga asing.
Katanya, ejen penjualan kad pengenalan palsu dipercayai didalangi oleh warga tempatan yang berada di Lembah Klang, namun pihaknya juga tidak menolak kemungkinan ada penglibatan pihak luar.
Menurut beliau, ejen dipercayai hanya sekali sahaja akan bertemu dengan warga asing yang disasarkan, sebelum bertindak menggunakan runner sebagai orang tengah untuk menghantar kad pengenalan palsu.
"Ejen warga tempatan ini dipercayai bergerak secara 'mobile' dari satu kawasan ke satu kawasan lain.
"Setelah mendapat sasaran, ejen akan bertindak menggunakan runner bagi menjadi orang tengah untuk berurusan dengan pelanggan.
"Namun runner gagal dikesan kerana memakai helmet dan penutup muka semasa menyerahkan kad pengenalan palsu kepada pelanggan," katanya.
Sehubungan itu, Ruslin berkata, JPN bertekad untuk membanteras pihak ejen yang memfokuskan beberapa negeri sebagai hot spot penjualan kad pengenalan palsu seperti di Selangor, Perak serta Johor.
Beliau berkata, sebanyak 115 kad pengenalan palsu telah berjaya dirampas pada 2019, manakala 69 keping (2020), diikuti 104 keping (2021) serta 130 keping (2022).
Kata beliau, bagi tempoh dua bulan sehingga Februari, sebanyak 59 keping kad pengenalan palsu telah dirampas JPN termasuk serbuan Ops Pintas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!