Imigresen usir Pati, elak depot tahanan sesak
KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen sedang membuat proses pengusiran dan pendakwaan terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) di negara ini dengan lebih cepat bagi mengelakkan berlaku kesesakan Pati di depot Imigresen.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata ia juga bagi mengelakkan kerajaan menanggung kos perbelanjaan yang lebih tinggi di depot tahanan Imigresen apabila tahanan Pati meningkat.
“Saya boleh katakan daripada lebih 9,000 Pati yang berada di dalam depot kami hanya lebih 5,000 daripada jumlah itu (9,000) telah diusir keluar dan didakwa di mahkamah.
“Selain menyelesaikan proses pendakwaan dengan cepat, ada pihak-pihak tertentu yang meminta kami untuk ‘slow down’ daripada membuat operasi penguatkuasaan imigresen kerana jumlah Pati yang ditahan di dalam depot adalah tinggi,” katanya pada sidang media selepas operasi penguatkuasaan imigresen di Jalan Loke Yew, di sini, awal pagi ini.
Beliau berkata pihaknya telah menahan 46,000 Pati di seluruh negara sejak awal Januari sehingga malam tadi.
Mustafar berkata walaupun mendapat tentangan dan kritikan, pihaknya tidak akan memberhentikan operasi penguatkuasaan Imigresen untuk membanteras warga asing yang masuk ke negara ini secara haram.
Beliau berkata Imigresen akan membuat operasi penguatkuasaan pada setiap hari di seluruh negara dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang memiliki kesalahan Imigresen.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata kerajaan memberi komitmen sepenuhnya agar kegiatan tidak sihat seperti pelacuran dan kemasukan Pati tidak berleluasa di negara ini.
“Usaha berterusan membasmi kemasukan PATI secara haram di negara ini akan diteruskan seperti biasa bagi menjadikan negara ini bebas Pati,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!