Polis Kelantan catat rampasan kes dadah RM5.4 juta
KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kelantan mencatat pelbagai rampasan berkaitan kes dadah berjumlah RM5.4 juta dalam tempoh dua bulan bermula Januari tahun ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, rampasan dilakukan melalui serbuan hasil risikan dan Op Tapis berterusan selain maklumat yang disalurkan oleh masyarakat.
“Rampasan ini ialah bukti bahawa dadah menjadi musuh nombor satu PDRM dan walaupun jumlahnya kecil, tindakan tetap akan diambil bagi memerangi jenayah ini habis-habisan.
“Saya juga memuji tindakan rakyat Kelantan yang semakin berani dan bijak menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan dadah,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan bagi Februari peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.
Beliau sebelum itu turut menyampaikan sijil penghargaan dan pemakaian pangkat kepada anggota serta pegawai yang cemerlang dalam penugasan mereka termasuk dari Jabatan Penjara dan Agensi Antidadah Kebangsaan.
Menurut beliau, perbincangan sentiasa dilakukan dengan kerajaan negeri dan pelbagai agensi lain bagi memastikan sempadan negara di negeri itu tidak dibolosi sama ada melibatkan dadah atau barangan kontraban lain.
“Operasi turut membabitkan saringan urin dan tangkapan terhadap pesalah dadah.
“Polis akan terus memberi komitmen padu bagi meraih lebih banyak kejayaan dalam memerangi jenayah dadah,” katanya.
Tambah Muhamad Zaki, polis mengambil pendekatan turun padang dan mendekati masyarakat dalam usaha mengurangkan indeks jenayah sejajar dengan konsep Malaysia Madani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!