Terima upah RM10 seludup satu tong bahan api

KPDN Kelantan merampas 1,450 liter minyak diesel selepas menahan dua penyeludup dalam serbuan berasingan di Bachok pada Isnin.
KPDN Kelantan merampas 1,450 liter minyak diesel selepas menahan dua penyeludup dalam serbuan berasingan di Bachok pada Isnin.
A
A
A

BACHOK - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas 1,450 liter minyak diesel selepas menahan dua penyeludup dalam serbuan berasingan di sini pada Isnin.

Kejayaan itu hasil kerjasama antara KPDN Kelantan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok menerusi Ops Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, bertindak atas maklumat risikan, sepasukan anggota mengesan pergerakan serentak melibatkan dua kereta dari arah Tok Bali, Pasir Putih menghala ke Tumpat.

"Kita berjaya menahan kereta pertama di kawasan Melawi dan hasil pemeriksaan dilakukan membawa kepada penemuan 30 tong jerikin mengandungi petrol sebanyak 750 liter.

"Kenderaan kedua yang dipandu oleh seorang lagi suspek berusia 20-an ditahan di Pauh Lima hasil bantuan anggota IPD Bachok dan pemeriksaan mendapati terdapat 28 tong jerikin berisi 700 liter petrol," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurut beliau, kedua-dua suspek yang ditahan itu merupakan warga tempatan.

Ujarnya, hasil soal siasat suspek mengakui menerima upah sebanyak RM10 untuk satu tong bahan api itu.

Azman memberitahu, kesemua bahan api itu diambil dari sempadan negeri ini yang telah dijadikan sebagai lokasi transit.

Beliau berkata, kes akan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"KPDN Kelantan memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti tidak bermoral ini dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.

"Dalam masa yang sama juga Penguat Kuasa KPDN Kelantan sentiasa mempergiatkan lagi usaha dengan mengadakan Pemantauan Rondaan Pencegahan Penyelewengan Subsidi di stesen-stesen minyak sekitar radius 50 kilometer dari sempadan negara dari masa ke semasa," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!