Saya bukan protes atau merajuk - Ismail Sabri

Ismail Sabri (tengah) pada sidang akhbar bersama Sabariah dan Khaizulnizam(kanan) pada Selasa.
Ismail Sabri (tengah) pada sidang akhbar bersama Sabariah dan Khaizulnizam(kanan) pada Selasa.
A
A
A

BERA - Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan beliau bukan protes atau merajuk apabila tidak menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO.

Sebaliknya ujar beliau, ia selari dengan pendirian dibuat sebelum ini yang mahu semua jawatan dipertandingkan termasuk Presiden dan Timbalan Presiden seperti mana ditetapkan perlembagaan parti.

"Ia juga salah satu punca kenapa saya tidak menawarkan diri untuk bertanding. Saya tak boleh cakap lain buat lain, saya tak bersetuju bahawa dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan.

"Nanti mereka kata, dulu kata tak setuju. Tiba-tiba dia (Ismail Sabri) bertanding pula, maknanya dia bersetuju lah.

“Sebab itu kalau saya bertanding seolah-olah bersetuju sedangkan saya tidak setuju," katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Penutup Latih Amal Bera di Waterfront Bera di sini pada Selasa.

Ismail Sabri (tengah) memakaikan jaket Penyelamat terhadap peserta Latih Amal Bera pada Selasa.
Ismail Sabri (tengah) memakaikan jaket Penyelamat terhadap peserta Latih Amal Bera pada Selasa.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai, Datuk Sabariah Saidan dan ADUN Kemayan, Khaizulnizam Mohd Zuldin.

Tambah Ismail Sabri, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tidak boleh membuat keputusan yang bertentangan dengan perlembagaan.

Beliau turut menafikan laporan akan bersara dalam politik kerana masih menghantar pencalonan bagi mempertahankan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera dan menang tanpa bertanding.

"Saya tak pernah kata nak bersara cuma saya tak bertanding jawatan Naib Presiden.

“Apabila tidak berada dalam MKT UMNO, saya boleh tegur dan beri pandangan secara bebas dari luar, lagi senang.

“Kalau tidak, terikat bila ada keputusan sudah dibuat dalam MKT yang anggapan saya ia salah, maka tak sesuai hendak tegur," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!