Empat individu rugi lebih RM300,000 angkara scammer
KUANTAN - Seramai empat individu tampil membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan dalam talian melibatkan kes berasingan dengan nilai kerugian keseluruhan lebih RM300,000.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa pertama melibatkan suri rumah berusia 38 tahun dikatakan telah berkenalan dengan seorang lelaki warganegara Hong Kong melalui aplikasi Weibo pada Januari lalu.
Menurutnya, suspek menawarkan pelaburan tukaran mata asing di aplikasi Wbex selepas menerangkan mengenai proses tukaran mata wang asing kepada mangsa melalui aplikasi itu.
"Mangsa membuat 10 transaksi pemindahan wang ke dalam enam akaun syarikat yang berbeza.
"Namun membuat beberapa transaksi, mangsa menyedari dirinya ditipu dan kerugian RM149,314," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Katanya, kes kedua pula melibatkan seorang kontraktor yang kerugian RM62,571 selepas tertarik menyertai pelaburan selepas diperkenalkan kakaknya April tahun lalu.
"Mangsa diterangkan peluang pelaburan di luar negara dengan cara membuka satu lot selepas berhubung dengan seorang lelaki sebelum membuat tiga kali pembayaran wang ke dalam akaun suspek.
"Namun sehingga kini, mangsa masih tidak menerima sebarang wang keuntungan hasil daripada pelaburan tersebut," katanya.
Sementara itu, pihaknya memberitahu turut menerima laporan polis daripada seorang pesara jururawat swasta berusia 64 tahun ditipu selepas menjadi mangsa pelaburan tidak wujud melibatkan kerugian RM 61,000.
"Dalam kes pada 12 Februari lalu, seorang penuntut jurusan ijazah sarjana turut kerugian RM41,000 selepas diperdaya dengan tawaran kerja sambilan melalui aplikasi WhatsApp.
"Mangsa yang berminat dengan tawaran kerja itu telah diminta oleh suspek untuk membuat beberapa tugasan sebagai syarat kerja tersebut.
"Selepas selesai tugasan tersebut, suspek meminta kesemua maklumat peribadi mangsa untuk tujuan pembayaran komisen mangsa.
"Mangsa telah membuat sembilan transaksi bayaran, namun gagal menerima sebarang bayaran seperti dijanjikan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!