Kelly Tan kongsi ilmu golf bersama si cilik
SERAMAI 50 peserta terdiri daripada remaja perempuan yang berusia antara 12 hingga 19 tahun termasuk atlet amatur remaja menyertai Klinik Golf Bersama Kelly Tan pada Selasa.
Program Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Perbadanan Padang Golf Subang itu berlangsung di Kelab Golf Negara Subang, Petaling Jaya.
Menurut KBS, program itu menjadi antara agenda kementerian untuk memberikan sumber inspirasi serta motivasi kepada golongan muda untuk aktif dalam sukan seterusnya menjadi atlet negara.
“Penglibatan keluarga juga amat penting dari segi pemahaman dan sokongan kepada anak-anak yang meminati bidang sukan.
“Program Up Close & Personal bersama Kelly Tan hari ini khusus untuk pemain golf wanita professional negara Kelly Tan berkongsi pengalaman serta kemahirannya dalam sukan golf kepada para peserta.
“Selain itu, dia juga berkongsi permulaan dalam sukan ini hingga berjaya menjadi pemain golf wanita professional negara,” kata kementerian dalam satu kenyataan.
Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Untuk rekod Kelly Tan merupakan pemain golf wanita professional mula aktif dalam sukan golf seawal usia 12 tahun dan telah beraksi dalam dua temasya Sukan Olimpik iaitu Sukan Olimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!