Polis kesan remaja perempuan hilang dari rumah

Polis sedang mengesan Nur Dalila Amani Ahmad Syaiful yang dilaporkan hilang sejak lima hari lalu. - Foto media sosial
Polis sedang mengesan Nur Dalila Amani Ahmad Syaiful yang dilaporkan hilang sejak lima hari lalu. - Foto media sosial
A
A
A

SEREMBAN - Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Taman College Height, Sikamat di sini sejak lima hari lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, remaja berkenaan Nur Dalila Amani Ahmad Syaiful, 17, dilihat kali terakhir pada 24 Februari lalu kira-kira jam 4 petang.

"Berdasarkan keterangan bapanya, sebelum keluar bekerja, anak sulung daripada empat beradik itu dilihat berada di ruang tamu rumah.

"Ketika itu dia (Nur Dalila Amani) memakai baju putih dan berseluar panjang hitam, dipercayai keluar rumah dengan membawa sebuah beg silang berwarna coklat serta telefon bimbit," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Jelas Nanda, bapanya telah cuba mengesan remaja tersebut melalui rakan-rakan sekolah anaknya itu, namun gagal.

"Bapanya juga menjelaskan tiada pertengkaran atau perselisihan faham di antara mereka sebelum anaknya itu menghilangkan diri.

"Remaja tersebut masih bersekolah dalam Tingkatan Lima di salah sebuah sekolah menengah di sini.

"Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai remaja berkenaan diminta menyalurkannya di balai polis berhampiran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!