Dakwaan sogokan RM150 alasan bantah kemenangan Radzi di Putrajaya
KUALA LUMPUR – Seorang pengundi memfailkan petisyen bagi membatalkan kemenangan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin yang memenangi kerusi Parlimen Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.
Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim mendakwa Mohd Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu memberi sogokan RM150 kepada pengundi berdaftar di kawasan berkenaan.
Ahmad Faisal, 50, selaku pempetisyen memfailkan permohonan itu pada 26 Januari lalu, menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dengan menamakan Mohd Radzi, 46, selaku responden tunggal.
Menerusi petisyen berkenaan, Ahmad Faisal memohon perintah mahkamah agar Mohd Radzi tidak wajar dipilih bagi Parlimen berkenaan pada PRU15, yang diadakan pada 19 November lalu.
“Tindakan ejen-ejen responden dalam memberikan sogokan dalam bentuk wang tunai telah memprejudiskan perjalanan pilihan raya dan suatu tindakan salah serta menggugat amalan prinsip demokrasi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Menurut petisyen yang difailkan, pemimpin UMNO itu mendakwa, sogokan diberi bagi pengundi berdaftar di Parlimen sama.
Katanya, butiran sogokan dinyatakan menerusi perbualan menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ bertarikh 21 November dan 21 Disember 2022 serta 4 Januari lalu.
“Pengundi telah menerima sogokan daripada seorang pekerja Perikatan Nasional (PN) dan mendorong pengundi memilih responden dalam PRU15 dan bukan calon lain,” katanya.
Pempetisyen ini menyatakan bahawa, rasuah yang dilakukan oleh responden dan ejen-ejennya menyebabkan kemenangan kepada calon PN ini, mengalahkan calon BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Sementara itu, ketika prosiding permohonan pendengaran bantahan awal oleh Mohd Radzi melalui peguamnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, beban pematuhan bagi peruntukan bawah Akta 5 dan Kaedah-kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 adalah terletak sepenuhnya ke atas bahu pempetisyen.
Katanya, kegagalan untuk mematuhi peruntukan itu akan menyebabkan petisyen pilihan raya ini cacat, defektif dan perlu dibatalkan.
“Kami memfailkan bantahan awal pada 12 Februari lalu kerana ketidakpatuhan untuk memenuhi Kaedah 4(1)(b) Kaedah-Kaedah Petisyen 1954, dibaca bersama Seksyen 32(a) Akta 5 kerana fakta yang disandari tidak berupaya menyokong relif yang dipohon,” katanya.
Beliau berkata, pempetisyen gagal untuk menyatakan butiran peribadi pengguna ‘WhatsApp’ iaitu tiada nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat termasuk maklumat ‘group’ aplikasi berkenaan.
Tidak dinyatakan juga katanya, bilangan penerima, jumlah wang yang terlibat dan butiran yang menunjukkan pembayaran oleh wakil ejen tersebut, dibuat atas arahan atau dalam pengetahuan responden.
Sementara itu, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata, bantahan awal yang difailkan oleh responden pada 12 Februari lepas, tidak mempunyai merit dan petisyen itu perlu didengar melalui perbicaraan penuh.
“Kami mengemukakan bahawa satu-satunya cara bagi seorang hakim pilihan raya untuk menentukan sama ada orang yang memberikan wang bagi pihak responden atau sebaliknya adalah isu yang boleh dipantau melalui perbicaraan petisyen,” katanya.
Selepas mendengar hujahan pihak-pihak terlibat, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Faizah Jamaludin menetapkan 10 Mac depan untuk keputusan bantahan awal tersebut.
Rekod penyandang Parlimen Putrajaya selama empat penggal berturut-turut oleh Tengku Adnan Tengku Mansor sejak tahun 2004, dileburkan oleh bekas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dari Perikatan Nasional (PN).
Putrajaya sebelum ini didominasi oleh Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, sejak 18 tahun yang lalu.
Mohd Radzi mengumpul 16,002 undi mengalahkan Tengku Adnan dengan majoriti 2,310 undi.
Penyandang itu memperoleh 13,692 undi manakala calon PH, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz pula memperoleh 5,988 undi dan calon Pejuang, Datuk Mohd Rosli Ramli pula 878 undi.
Dua calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi mendapat 63 undi dan Lim Fice Bee pula 20 undi manakala Mohd Rosli, Samsudin dan Fice Bee hilang deposit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!