RM390,425 kerugian dicatat babit kes tipu bantuan kebajikan
KUCHING - Sejumlah RM390,425 kerugian dicatatkan membabitkan kes penipuan bantuan kebajikan sepanjang tahun lepas.
Malah, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, empat kes dilaporkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM17,880 membabitkan modus operandi yang sama.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata sindiket tersebut kembali aktif baru-baru ini dan dua warga emas telah menjadi mangsa.
“Mangsa yang merupakan suri rumah itu masing-masing berusia 63 tahun dan 72 tahun, berasal dari Sri Aman dan Betong. Kedua-duanya masing-masing telah mengalami kerugian RM2,850 dan RM1,560,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Mustafa berkata, orang awam dinasihatkan supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tipu muslihat individu yang menawarkan untuk membantu mendapatkan sebarang bantuan kebajikan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!