Anwar cari penyelesaian isu haji, umrah jemaah Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa mengadakan perbincangan bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah berhubung kelancaran pelaksanaan haji dan umrah bagi jemaah Malaysia.

Perbincangan itu berlangsung semasa Anwar menerima kunjungan hormat Tawfiq bersama delegasi di pejabatnya di bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada Selasa.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Menerusi catatan terkini di Facebooknya, Anwar berkata, beliau dan Tawfiq turut berbincang mengenai inisiatif-inisiatif yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang lain termasuk pelancongan, pendidikan, pelaburan dan perdagangan.

Perdana Menteri berharap hubungan rapat Malaysia dan Arab Saudi yang telah terjalin sekian lama akan menjadi lebih erat demi kemaslahatan rakyat Malaysia khasnya dan umat Islam amnya.

Semalam, Mohd Na’im dalam pertemuannya bersama Tawfiq telah menyampaikan hasrat Malaysia kepada Arab Saudi untuk mendapatkan tambahan kuota haji kepada 31,950 pada tahun hadapan, selaras dengan pertambahan jumlah penduduk negara.

Kuota jemaah Malaysia bagi musim haji tahun ini ialah 31,600. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!