Rasuah Busters akan terus bersuara
SHAH ALAM - Demi memberdayakan semula Malaysia, #RasuahBusters dan gabungannya akan terus bersuara dan bertindak sebagai pelengkap kepada usaha melahirkan #MalaysiaTanpaRasuah, tegas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia Rasuah Busters, Nurhayati Nordin.
Menurut beliau, usaha berterusan juga akan dilaksanakan pasukannya supaya pandemik kezaliman akibat rasuah ditamatkan riwayatnya di negara ini.
Dalam masa sama, kata Nurhayati, kerajaan akan terus dipantau agar menyegerakan keutamaan agenda antirasuah dan integriti yang diusulkan oleh profesional dan masyarakat sivil sebelum ini.
“Cita-cita kerajaan untuk tidak berkompromi dengan rasuah, mengamalkan tata kelola yang efektif bukan saja memerlukan kehendak politik, bahkan sebuah tekad yang dijunjung dengan wibawa kepimpinan yang berkarisma, ikhlas dan kompeten.
“Kita masih lagi menunggu langkah-langkah proaktif untuk dilaksanakan oleh kerajaan dalam memastikan reformasi institusi yang dicadangkan #RasuahBusters dan gabungannya masuk ke fasa yang lebih meyakinkan rakyat.
“Kritikan dan ekspresi membina yang dibawakan #RasuahBusters dan gabungannya mahu kerajaan ini melakukan instropektif kendiri dalam merangka satu tindakan yang jelas, inklusif sebagai sebuah kerajaan harapan rakyat,” katanya di sini pada Selasa.
Pada 22 Februari lalu, pasukan Rasuah Busters mengemukakan enam nota kepada kerajaan melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendesak agar reformasi perundangan, institusi dan moral dilakukan dengan segera.
Sementara itu, menyentuh mengenai 100 hari pentadbiran Kerajaan Perpaduan berhubung inisiatif memerangi rasuah, Nurhayati berkata, kerajaan tidak boleh alpa dan memberi ruang sebarang potensi rasuah yang boleh merebak jika usaha memeranginya berjalan terlalu perlahan.
“Kita akan jatuh ditimpa tangga jadinya. Strategi penyampaian tahap jangka sederhana dan jangka panjang memerlukan bukti kesungguhan kerajaan untuk membawakan perubahan yang signifikan terhadap ketelusan perolehan, tadbir urus, kod etika dan prestasi integriti dilaksanakan dengan tegas dalam sektor awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebagainya,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan digesa melakukan apa sahaja usaha yang membawa kepada pemulihan negara ini, sekali gus akan dapat memberi kesejahteraan kepada rakyat.
“Tetapi tampuk kepimpinan negara jangan dilupakan, institusi dan dasar yang dibina tanpa meletakkan amanah yang digarap dengan paksi perundangan yang teguh dan adil akan mampu meruntuhkan apa saja yang dibina, hatta sebuah empayar sekalipun.
“Maka kami mewakili pasukan Rasuah Busters mengharapkan 100 hari ini dijadikan refleksi penting dalam kerajaan melakar perubahan dan menterjemahkan sebuah transisi demokrasi dengan harmoni yang dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Kedudukan kerajaan terletak atas kuasa satu jari rakyat yang turun mengundi dalam setiap pilihan raya umum diadakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!