Kisah di sebalik jersi nombor 67 milik Saddil Ramdani

Saddil antara peledak utama Sabah FC musim ini. - Foto SABAH FC
Saddil antara peledak utama Sabah FC musim ini. - Foto SABAH FC
A
A
A

DUA musim menyarung jersi Sabah FC, Saddil Ramdani tampil mendedahkan rahsia nombor 67 begitu istimewa kepada pemain lincah dari Indonesia tersebut.

“Ibu saya dilahirkan pada tahun 1967 dan itu sebabnya saya mengambil nombor 67 itu sebagai nombor jersi saya di Sabah.

“Perkara ini juga telah direstui ibu apabila saya telah memohon kebenaran daripadanya.

“Mungkin ramai berasa hairan mengapa saya memilih nombor ini tetapi saya bangga kerana ini menunjukkan rasa hormat serta bukti, perasaan sayang kepada ibu.

“Saya harap pemilihan nombor 67 ini akan berikan tuah kepada karier saya sepanjang di Sabah terutama pada musim ini,” katanya.

Sabah menyingkap tirai Liga Super 2023 dengan keputusan positif apabila menewaskan PDRM FC, 4-0.

Pada perlawanan itu Saddil terlebih dulu meletakan The Rhinos di depan pada minit ke-13.

Kapten The Rhinos, Park Tae-su menjadikan kedudukan 2-0 apabila menyudahkan hantaran Saddil pada minit ke-38 untuk memimpin separuh masa pertama 2-0.

The Cops berusaha kembali menyaingi tuan rumah babak kedua, namun Saddil ternyata lebih unggul apabila melebarkan jaringan pada minit ke-71,

Anak buah Datuk Ong Kim Swee terus menambah jaringan kali ini menerusi Stuart Wilkin pada minit ke-93 selepas menyudahkan hantaran Rizal Ghazali.

Sementara itu, prestasi cemerlang pada aksi sulung Liga Super melalui dua jaringan dan satu bantuan gol, tidak membuatkan Saddil leka dengan pujian.

Sebaliknya pemain berusia 24 tahun itu mahu lebih konsisten sepanjang musim ini bagi membantu Sabah FC meraih lebih banyak kejayaan, musim ini.

Malah tegasnya, dia juga tidak mahu kejayaan menewaskan PDRM FC, 4-0 hanya ditujukan kepada dirinya sebaliknya menganggap semua pemain juga memberikan yang terbaik untuk Sabah.

Justeru, Saddil mengharapkan rentak sama mampu diteruskan The Rhinos apabila melayani kunjungan Kelantan United FC di Stadium Likas, pada Rabu.

“Syukur kerana permulaan positif buat saya dan pasukan, tetapi ini hanya aksi pertama kerana banyak lagi perlawanan kita bakal hadapi.

“Dua jaringan yang dilakukan sudah tentu memberikan motivasi dan harap saya mampu kekal berikan yang terbaik kepada pasukan sepanjang musim.

“Sejujurnya saya gembira beraksi dengan barisan penyerang Sabah musim ini apabila adanya pemain seperti Darren Lok yang telah menambahkan kualiti pasukan,” katanya.

Untuk rekod Saddil dan pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Paulo Josue, dua pemain yang berjaya menjaringkan dua gol pada aksi pembukaan Liga Super.

Mengenai perlawanan berdepan Kelantan United Saddil berkata, “Kami tidak boleh ambil mudah cabaran Kelantan United kerana semua pasukan ada kualiti tersendiri apabila berada di dalam Liga Super.

“Apa yang penting, jangan sia-siakan kelebihan bermain di tempat sendiri dengan cuba meraih tiga mata pada tiap perlawanan bagi meletakkan kami dalam posisi yang selesa di liga.”

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!