Sembang projek juta-juta ringgit, makan bayar asing-asing
SETIAP kali pulang ke kampung halaman, warung Pak Mat tetap jadi port sarapan pagi Merak Jalanan. Seusai solat Subuh di masjid, warung Pak Mat menjadi persinggahan bersama beberapa rakan lain.
Sebaik sahaja sampai di warung itu, Merak Jalanan perhatikan kebanyakan pelanggan merupakan warga emas yang sedang meniti penghujung usia. Ada yang baru bersara memilih kampung halaman sebagai tempat menghabiskan sisa hidup.
Terdapat tiga sekawan berusia lingkungan 40 hingga 50-an yang sampai lebih awal. Merak Jalanan tak kenal, mungkin orang luar. Rakan-rakan lain juga mengatakan tidak pernah nampak tiga individu itu sebelum ini. Kami pun bertegur sapa. Kemudian Merak Jalanan dengan rakan-rakan duduk di meja bersebelahan dan bersembang.
Perbualan dengan tiga sekawan itu lebih kepada bisnes. Mereka kata kenal dengan menteri itu, menteri ini. sehinggalah kepada cerita projek berjuta-juta ringgit termasuk yang sedang melobi. Sesekali diselitkan dengan cerita politik.
Sedang mereka rancak bersembang, salah seorang rakan berbisik seloroh kepada Merak Jalanan, “Kejap lagi kita makan freelah (percuma), mesti businessman itu belanja sebab banyak dapat projek berjuta-juta.”
Selepas lama bersembang, tiga sekawan itu mahu berangkat kerana ada urusan lain, lantas bangun ke meja bayaran. Masing-masing buat bayaran dan meninggalkan warung dengan menaiki kereta mewah.
“Pak Mat, dia orang (mereka) bayar semua ka?” tanya salah seorang rakan Merak Jalanan sambil menunjukkan hidangan di atas meja kami yang sudah licin dimakan.
“Bayar apanya, dia orang pun bayar asing-asing,” kata Pak Mat. Apa lagi, kami semua gelak besar. Takkan cerita projek besar-besar, tapi masa nak bayar kena sendiri-sendiri.
Merak Jalanan tak ada projek juta-juta tapi tak ada masalah nak belanja kawan-kawan. Bukan mahal pun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!