Penduduk mahu bekalan air bersih

Sumber air telaga yang digunakan oleh keluarga Maimun serta tiga buah rumah lagi di Kampung Pulau Manis, Jalan Telemong, Manir di Kuala Terengganu. Gambar kecil: Maimun, Gayah, Khirul Azari, Hanani
Sumber air telaga yang digunakan oleh keluarga Maimun serta tiga buah rumah lagi di Kampung Pulau Manis, Jalan Telemong, Manir di Kuala Terengganu. Gambar kecil: Maimun, Gayah, Khirul Azari, Hanani
A
A
A

PENDUDUK di Kampung Pulau Manis, Jalan Telemong, Manir yang terletak kira-kira 22 kilometer (km) dari Bandaraya Kuala Terengganu berdepan masalah bekalan air yang masih belum disalurkan sehingga kini ke penempatan mereka sejak kawasan itu mula diduduki 15 tahun lalu.

Sebagai inisiatif mendapatkan bekalan air, mereka berusaha menggali telaga serta mencari sumber air bawah tanah menggunakan telaga tiub atau air boreng.

Malangnya, penduduk mendakwa air boreng yang digunakan tidak bersih, berwarna keperangan dan ada kalanya berbau busuk.

Kekurangan sumber air di kawasan itu menyebabkan kebanyakan penduduk terpaksa berkongsi bekalan air yang diperoleh dari sebuah telaga.

Penduduk juga terpaksa mengangkut air dari luar sama ada dari mesin jualan air atau dari rumah saudara mara terdekat.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, NORHASPIDA YATIM menyelami keperitan dan kesusahan dialami tujuh buah keluarga yang saban hari berdepan situasi sukar disebabkan tiada bekalan air bersih.

Masalah ketiadaan bekalan air bersih sudah sebati bagi setiap penduduk di Kampung Pulau Manis, Manir di sini, sehingga ada yang hampir berputus asa dan menggunakan air boreng sebagai air minuman kerana sudah letih berulang alik mengangkut air dari tempat lain.

Seorang penduduk yang ditemui, Maimun Jusoh, 59, berkata, lima botol air yang setiap satunya bersaiz lima liter digunakan untuk mengangkut air dari mesin jualan air untuk kegunaan memasak dan berwuduk.

“Air bersih diangkut hampir setiap hari. Disebabkan tiada pilihan saya terpaksa membasuh baju menggunakan air boreng. Masalah juga sebab pakaian yang dibasuh kadang-kadang tidak bersih. Ada hari tidak sihat saya terpaksa hantar baju untuk dibasuh di kedai dobi.

Hanani menunjukkan keadaan air boreng selepas ditakung yang terpaksa juga digunakan untuk mandi, membasuh pakaian serta pinggan mangkuk.
Hanani menunjukkan keadaan air boreng selepas ditakung yang terpaksa juga digunakan untuk mandi, membasuh pakaian serta pinggan mangkuk.

“Bayangkan saya perlu membasuh pakaian yang banyak menggunakan tangan. Setiap hari basuh baju selama beberapa jam. Ada mesin basuh pun tak dapat digunakan.

“Lebih buruk lagi keadaan air boreng yang berkarat menyebabkan warna pakaian berwarna putih berubah menjadi kuning dan kusam. Warna lantai dan dinding bilik air juga berubah warna,” katanya yang tinggal di kampung itu sejak 2008.

Maimun berkata, bekalan air boreng yang diperoleh tidak menentu, ada kalanya keruh, keperangan dan lebih buruk lagi jika berbau busuk.

“Rasa sedih dan tak tahan, tapi itulah hakikat yang kami semua di sini terpaksa tempuh. Pernah juga air boreng berbau seperti bangkai namun saya terpaksa juga guna (makan dan minum) sekiranya keadaan memaksa dan air yang diangkut ke rumah sudah habis.

“Kami juga takut untuk menjamu tetamu yang datang ke rumah, bimbang mereka ragu-ragu untuk makan dan minum daripada sumber air yang tidak bersih,” katanya.

Seorang lagi, Gayah Mat Hassan, 66, berkata, disebabkan sumber air boreng tidak bersih, dia terpaksa mengambil inisiatif lain dengan menyediakan tong khas untuk menadah air hujan bagi membasuh pinggan mangkuk.

“Bukan tidak berusaha untuk cari air telaga. Kami pernah gali telaga sedalam kira-kira 15 meter menggunakan jentera pengorek malangnya dekat rumah ini tiada sumber air,” katanya.

Gayah yang menetap di situ sejak 2018 berkata, air boreng yang digunakan pada mulanya nampak jernih namun berubah warna setelah ditakung.

“Acap kali juga pelampung tangki air rosak disebabkan selut dan karat yang tebal terkumpul. Tengok pada keadaan air nak minum pun rasa tak selamat.

“Disebabkan tiada pilihan, air ini juga digunakan untuk mandi. Kami anak beranak termasuk cucu dah lali dengan gatal-gatal pada kulit selepas mandi guna air boreng. Walaupun air boreng ditapis menggunakan pasir, batu dan arang dan penapisnya pula dicuci selepas tiga hari, baunya tetap tidak hilang.

“Sebab itulah saya terpaksa upah cucu saudara angkut air dari rumahnya untuk dibuat minum, memasak dan berwuduk. Sekali angkut berbelas liter dan hanya mampu bertahan selama tiga hari," ujarnya.

Berkongsi masalah sama, Khirul Azari Ahmad, 43, yang tinggal di situ bersama isteri dan tiga anak sejak tahun lalu berkata, dia tidak menyangka kawasan itu tidak mempunyai bekalan air bersih.

“Saya baru duduk di sini sejak 2022. Tak sangka pula kawasan ini tiada bekalan air bersih kerana kedudukannya tidaklah berada jauh di pedalaman atau terletak jauh dari kawasan bandar.

“Lagipun kawasan ini bukan hanya ada sebuah rumah, terdapat hampir 10 buah rumah termasuk empat buah rumah yang sedang dibina,” katanya yang sebelum ini menyewa di Kampung Teluk Ketapang, Gong Badak di Kuala Nerus.

Permohonan bekalan air sudah dibuat sejak 2019

Sementara itu, wakil penduduk, Hanani Ibrahim, 37, berkata, permohonan bekalan air di kawasan itu telah dihantar kepada Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu) sejak 2019 namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan positif yang diterima.

Hanani menunjukkan kualiti air boreng yang ditakung di belakang rumahnya di Kampung Pulau Manis, Jalan Telemong, Manir di Kuala Terengganu.
Hanani menunjukkan kualiti air boreng yang ditakung di belakang rumahnya di Kampung Pulau Manis, Jalan Telemong, Manir di Kuala Terengganu.

permohonan yang dihantar telah lengkap berserta tandatangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, pelan rumah dan surat sokongan dari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Hampir setiap bulan kami buat susulan permohonan. Ada maklumat kata permohonan ini diserahkan kepada KPLB (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) (sekarang dikenali Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kerana katanya projek berskala besar.

“Apabila susulan dibuat penduduk, mereka kata di bawah Satu. Jadi kami bingung yang mana betul. Surat permohonan sudah lama dihantar namun masalah kami masih juga berlarutan dan tiada pembelaan,” ujarnya.

Menurut Hanani, pada mulanya Satu memberi alasan saluran air tidak boleh disalurkan memandangkan penempatan itu kurang dari 10 buah rumah.

“Sekarang di kawasan ini terdapat tujuh buah rumah yang berpenghuni dengan jumlah penduduk kira-kira 50 orang. Rumah dalam pembinaan pula ada empat buah.

“Kami pernah juga nak mohon sambung sendiri paip ke sini melalui syarikat swasta namun mereka kata perlukan bayaran sebanyak RM15,000.

“Tetapi meter paip yang disambung itu bukan berada berdekatan rumah, saiz paip pula agak kecil dan jarak dalam satu km dari jalan besar,” katanya.

Hanani mendakwa, dia kini mengalami kecederaan pada bahagian lutut dan tidak boleh berjalan seperti biasa disebabkan mengangkat air dalam kuantiti yang banyak hampir saban hari.

“Lutut saya cedera pada bulan November tahun lalu dan saya terpaksa berehat dan tidak boleh bekerja selama tiga minggu.

“Macam mana tak cedera, sudah bertahun kami angkut air dari luar. Bukan ringan-ringan sekali angkat satu tong air seberat 10 liter,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!