Dua sungai di Pahang melebihi paras bahaya

Gambar hiasan. - Foto: 123RF
Gambar hiasan. - Foto: 123RF
A
A
A

KUANTAN - Paras air Sungai Pukin, Rompin mencatatkan bacaan 47.37 meter melebihi paras bahaya 45 meter sehingga jam 10 pagi pada Rabu.

Sungai Keratong di stesen Jambatan Sungai Bahau, Rompin turut melebihi paras bahaya dengan bacaan 23.09 meter (paras bahaya 23 meter).

Situasi itu berlaku ekoran hujan lebat berterusan (tahap bahaya) sejak Selasa dan dijangka berterusan hingga Khamis melibatkan daerah Pekan dan Rompin berdasarkan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

Manakala hujan lebat berterusan (tahap buruk) berlaku di Jerantut, Maran, Kuantan dan Bera.

Berdasarkan info paras air sungai Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dua sungai di negeri ini berada pada paras amaran iaitu Sungai Dong di Kampung Peruas yang mencatatkan bacaan 134.71 meter, melebihi paras amaran, 134.46 meter.

Turut berada paras amaran, Sungai Belat di Seri Damai, Kuantan, 4.36 meter (paras amaran 4 meter).

Sementara itu tiga sungai berada pada paras melebihi tahap waspada iaitu Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut, Sungai Kechau di Kampung Dusun,Lipis dan Sungai Jempol di Felda Jengka, Maran.

Setakat jam 10 pagi, tiada laporan banjir atau pemindahan mangsa berlaku di negeri ini.

Satu laluan ditutup setakat ini akibat jalan runtuh iaitu jalan masuk ke Perwira Jaya dan Selancar, Rompin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!