Twitter lancar dasar terhadap 'Ucapan Ganas'

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

WASHINGTON - Twitter pada Selasa mengumumkan bahawa ia melancarkan dasar terhadap 'Ucapan Keganasan', lapor Agensi Anadolu.

Dalam ciapan di Twitter, syarikat itu menjelaskan bahawa pihaknya telah membuat beberapa perubahan pada dasar mengenai kandungan ganas dan bahasa yang serupa.

"Hari ini, kami secara rasmi melancarkan dasar Ucapan Keganasan kami, yang melarang sebarang bentuk ancaman ganas, keinginan untuk mencederakan, mengagungkan keganasan dan hasutan," menurut ciapan itu.

Syarikat itu memaklumkan bahawa Twitter ialah platform untuk orang ramai meluahkan perasaan mereka, mempelajari tentang isu semasa dan membahaskan isu global.

"Bagaimanapun, perkongsian yang sihat tidak dapat berkembang apabila ucapan ganas digunakan untuk menyampaikan mesej. "Oleh itu, kami mempunyai dasar toleransi sifar terhadap ucapan ganas bagi memastikan keselamatan pengguna dan mencegah tindakan ganas dinormalisasi.

"Twitter menggunakan pendekatan sifar toleransi terhadap ‘Ucapan Keganasan’ dan dalam kebanyakan kes, kami akan menggantung mana-mana akaun yang melanggar dasar ini,” menurut syarikat itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!