Jerman mula bina semula kekuatan
GERGASI Eropah, Jerman akan menyenaraikan sejumlah besar wajah baharu untuk perlawanan persahabatan menentang Peru dan Belgium pada Mac.
Pengendali Jerman, Hansi Flick berkata, itu antara pendekatan pasukan tersebut dalam membina semula keupayaan menjelang kempen Euro 2024 di laman sendiri.
Jerman yang sebelum ini mengalami penyingkiran Piala Dunia peringkat kumpulan kedua berturut-turut di Qatar pada Disember, akan berharap untuk meletakkan asas tahun ini untuk kejohanan yang berjaya di Jerman pada 2024.
"Kami akan pastikan pasukan ini mendapat beberapa pemain baharu dalam mengembalikan semula imej pasukan bola sepak Jerman.
"Memang menarik untuk melihat beberapa pemain muda beraksi bersama tonggak senior.
“Kami mahu menggunakan segala peluang dan masa yang ada untuk membentuk serta menguji semula pasukan dari sekarang sehingga Euro dengan menguji pemain muda," kata Flick.
Jerman menjadi tuan rumah Peru pada 25 Mac sebelum menjamu Belgium tiga hari kemudian.
Untuk rekod beberapa pemain muda telah pun beraksi bersama skuad Jerman dan hampir pasti mendapat tempat dalam skuad 2024, termasuk Jamal Musiala, Florian Wirtz, Karim Adeyemi dan Youssoufa Moukoko.
Ramai lagi pemain dijangka akan mempamerkan bakat mereka dalam tempoh terdekat, sambil Flick berusaha membina pasukan berdaya tempur untuk menebus kegagalan Qatar 2022 tahun lalu.
Juara dunia empat kali Jerman sebelum ini juga tersingkir dari Euro pada 2021 dalam Pusingan 16.
Situasi itu juga menyaksikan kehadiran para penyokong Jerman ke stadium juga semakin berkurangan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
"Ia adalah mengenai menyampaikan persembahan pada masa yang tepat. Adalah penting untuk melihat bahawa pasukan itu bersemangat berjuang dan memberikan sesuatu kembali kepada para penyokong Jerman.
"Sesiapa yang mahukan bersama mengembalikan era kegemilangan bola sepak Jerman boleh bersama kami menjelajah perjalanan ke Euro 24," kata Flick
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!