CPTPP jamin hak petani, sektor pertanian negara
KUALA LUMPUR - Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) tidak memberi impak negatif terhadap sektor pertanian negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong menjelaskan, sebaliknya perjanjian tersebut dilihat menjamin hak dan kepentingan petani tempatan ekoran satu-satunya perjanjian perdagangan bebas (FTA) ditandatangani Malaysia yang mengiktiraf isu keterjaminan makanan.
Menerusi CPTPP, kerajaan berhak melaksanakan larangan sementara eksport bagi produk barangan makanan supaya ia mencukupi untuk kegunaan rakyat.
"Dakwaan bahawa perjanjian ini tidak membenarkan kerajaan melaksanakan larangan eksport makanan asas seperti ayam adalah tidak benar.
"Selain itu, perjanjian CPTPP tidak akan menjejaskan program bantuan kerajaan, termasuk pemberian subsidi kepada pertanian untuk tujuan eksport," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Che Alias Hamid (PN-Kemaman) yang meminta kerajaan menyatakan pendirian berhubung isu CPTPP yang jelas memberi impak kepada sektor pertanian negara.
Sebelum ini media melaporkan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengumumkan kerajaan telah menyerahkan instrumen ratifikasi untuk perjanjian itu kepada depositari CPTPP, New Zealand, pada 30 September 2022.
Dalam pada itu Chin Tong (PH-Iskandar Puteri) berkata, CPTPP juga tidak akan mengakibatkan penghapusan menyeluruh duti import bagi barangan pertanian secara mendadak.
“Sememangnya Malaysia bergantung kepada import barangan pertanian di mana lebih 50 peratus daripada keperluan tempatan seperti daging kambing dan lembu dipenuhi melalui sumber import.
“Bagi tahun 2020 sahaja, purata duti import bagi barangan pertanian adalah sekitar 13.8 peratus dan ianya terus berkurangan kepada 7.9 peratus bagi tahun 2021.
“Tambahan pula, Malaysia tidak perlu menghapuskan sepenuhnya duti import bagi ayam dan telur di bawah CPTPP, dan masih boleh mengekalkan sistem kuota Kadar Tarif (Tariff-Rate Quotas),” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!