Manchester City lulus ujian di Ashton Gate

Foden (kiri) dan De Bruyne peledak gol City ketika menewaskan Bristol di Stadium Ashton Gate.
Foden (kiri) dan De Bruyne peledak gol City ketika menewaskan Bristol di Stadium Ashton Gate.
A
A
A

DUA jaringan memukau Phil Foden diikuti penyudah berimpak tinggi Kevin De Bruyne menyaksikan Manchester City meneruskan kemaraan ke pusingan keenam Piala FA selepas mengatasi Bristol City, 3-0 di Stadium Ashton Gate pada Rabu.

Malah pengendali Manchester City, Pep Guardiola menyifatkan peranan dimainkan Foden merupakan asas penting ketika melakar kemenangan ke atas kelab Liga Kejuaraan yang tampil dengan rekod tanpa kalah dalam 12 perlawanan terakhir semua pertandingan.

"Phil cukup dinamik, bertenaga, bekerja keras dan berkualiti seperti dibuktikan sepanjang perlawanan ini.

"Ya, perjalanan kariernya semakin meningkat tiada apa yang perlu diragui mengenai perkara itu semasa berkhidmat di kelab ini.

"Namun terdapat juga fasa musim ini dia bergelut dengan kecederaan yang menyaksikannya memerlukan masa untuk kembali ke prestasi sebenarnya.

"Tetapi kini dia kembali untuk persembahan terbaik musim ini, malah impaknya sangat mengagumkan. Bola sepak berbaloi apabila anda bekerja seperti dia," kata Guardiola selepas perlawanan.

Pada perlawanan itu, Foden meledak dua gol bermula pada minit ketujuh dan 74 sebelum De Bruyne memastikan langkah tuan rumah dengan jaringan minit ke-81 hasil penyudah padu jarak 25 meter.

Mengenai cabaran diberikan Bristol City, Guardiola berkata, "Sejujurnya ia perlawanan yang sukar biarpun pengakhiran berpihak kepada Manchester City.

"Bristol menunjukkan kepada kami betapa bagusnya karakter mereka apabila beraksi di laman sendiri.

"Saya kagum dengan beberapa pemain Bristol City, biarpun saya tidak mengenali mereka dan ternyata deparuh masa kedua mereka lebih baik," kata Guardiola

Sementara itu, harapan Leicester City untuk mengulangi pencapaian 2021 musnah apabila tewas 1-2 di Stadium King Power kepada kelab Liga Kejuaraan Blackburn Rovers.

Gol Rovers dihasilkan Tyrhys Dolan (m-33) dan Sammie Szmodics (m-52) sebelum Kelechi Iheanacho mengurangkan defisit pada minit ke-67.

Fulham pula mara ke pusingan keenam buat kali pertama dalam tempoh 13 tahun hasil jaringan Joao Palhinha dan Manor Solomon yang membolehkan tuan rumah menang 2-0 ke atas Leeds United di Craven Cottage.

Sementara itu, harapan Brighton dan Hove Albion untuk menjulang trofi utama yang pertama kekal tenang apabila gol separuh masa pertama Evan Ferguson mengesahkan kemenangan 1-0 ke kelab Liga Kejuaraan, Stoke City.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!