Kongsi kandungan lucah catat aduan tertinggi
KUALA LUMPUR - Sebanyak 58 peratus atau 1,631 daripada 2,825 aduan yang diterima serta disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berhubung kesalahan menyalahgunakan perkhidmatan komunikasi dan media sosial dalam tempoh 2009 hingga semalam, adalah atas kesalahan menyebar kandungan berunsur lucah.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, selain itu aduan menyebar kandungan jelik merekodkan sebanyak 546 kes, diikuti kandungan sumbang (tujuh), kandungan palsu (574) dan baki 74 aduan adalah melibatkan kandungan mengancam dan kandungan sumbang.
"Daripada aduan diterima berkenaan, sebanyak 108 kes masih dalam siasatan, 115 kes telah didakwa di mahkamah, 40 kes dikenakan kompaun dengan nilai keseluruhan RM138,250 dan 84 kes telah dikeluarkan notis amaran.
"Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) bertanyakan statistik individu disiasat, didakwa dan disabitkan di bawah seksyen itu dalam tempoh berkenaan mengikut tahun dan jenis hantaran.
Bagaimanapun, Nie Ching berkata, daripada jumlah aduan tersebut, sebanyak 2,478 kes telah dikenakan status Tiada Tindakan Lanjut (NFA) dan/atau Tiada Kesalahan Dizahirkan (NOD) disebabkan tiada bukti kukuh untuk mengaitkan suspek dengan kesalahan disiasat di bawah seksyen berkenaan.
Menjawab soalan tambahan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) berhubung bentuk kawalan dan pencegahan bagi isu kandungan lucah dan menggangu ketenteraman, Nie Ching berkata, penyedia platform media sosial juga membuat tapisan bagi memastikan kandungan yang mempunyai unsur berkenaan tidak dimuat naik.
"Kami juga akan menghubungi penyedia platform untuk pastikan kandungan itu akan dipadamkan selain bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk pastikan bahawa kandungan yang sifatnya meragukan tidak dihantar keluar," katanya.
Misalnya beliau berkata, sebanyak 518 juta khidmat pesanan ringkas meragukan telah disekat bagi tempoh 2021 hingga 2022 kerana bukan sahaja bersifat lucah, tetapi juga mengandungi unsur lain seperti penipuan.
"Banyak lagi nombor telefon telah kami sekat kerana kami syak telah disalahgunakan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!