89 calon SPM terkandas akibat banjir

Keadaan banjir di Johor bertambah teruk pada Rabu.
Keadaan banjir di Johor bertambah teruk pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 89 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Segamat dan Kulai terkandas akibat banjir serta tidak dapat menduduki peperiksaan pada Rabu.

Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh berkata, kesemua pelajar yang terkandas itu membabitkan tujuh pusat peperiksaan di Segamat dan satu di Kulai.

"Seramai 89 calon SPM di Segamat iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK) Tenang Stesen, SMK Bandar Putra, SMK Tinggi, SMK Gemereh, SMK LKTP Pemanis, SMK Dato Bentara Dalam dan SMK Labis Segamat.

"Di Kulai pula membabitkan SMK Taman Putri. Hari ini melibatkan peperiksaan subjek Sains dan Fizik manakala sebelah petang SRT ( Sains Rumah Tangga)," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau memberitahu terdapat calon SPM di beberapa buah pusat peperiksaan di Pasir Gudang, Johor Bahru, Kluang, Batu Pahat dan Kota Tinggi turut terjejas akibat banjir menyebabkan peperiksaan dimulakan lewat dan terpaksa menumpang di pusat peperiksaan yang lain.

"Seramai 127 calon SPM di daerah Kota Tinggi menumpang di pusat peperiksaan yang lain melibatkan SMK Laksamana, SMK Tun Habab, SMK Agama dan SMK Bandar," katanya.

Jelasnya, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sedang memantau keadaan terkini terutama membabitkan keselamatan calon di semua pusat peperiksaan di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!