PKPIM syor tiga langkah mansuh AUKU

Ahmad Farhan (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada Isnin)
Ahmad Farhan (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian pada Isnin)
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengesyorkan tiga langkah yang boleh dilaksanakan bagi memastikan agenda pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dapat dijalankan.

Presiden PKPIM, Ahmad Farhan Rosli berkata, langkah tersebut adalah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu menyemak dan menambah baik syor-syor laporan Jawatankuasa Pemansuhan AUKU yang ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020.

Jelasnya, KPT juga dicadangkan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk menyediakan garis masa pelaksanaan akta tersebut.

“KPT disyorkan menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pemansuhan AUKU melibatkan pemegang taruh sebagaimana termaktub dalam AUKU iaitu pihak kementerian, pentadbir universiti, pensyarah dan pimpinan mahasiswa bagi menyediakan garis masa pelaksanaan pemansuhan AUKU.

“PKPIM mengusulkan Kaukus Ahli Parlimen Muda Dewan Rakyat bekerjasama bersama pemimpin mahasiswa bagi menyediakan draf Rang Undang-Undang Persendirian Akta Pengajian Tinggi bagi memastikan wujud satu undang-undang baharu menggantikan AUKU 1971," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, Pakatan Harapan (PH) menjanjikan pemansuhan AUKU.

Susulan itu, media 27 Februari lalu melaporkan, Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya menggesa kerajaan memansuhkan AUKU 1971 seperti yang dijanjikan.

Ahmad Farhan menegaskan, AUKU wajar diberi nafas baru dan sepatutnya digantikan dengan suatu undang-undang yang lebih segar dan holistik serta memberikan autonomi yang lebih kepada institusi pengajian tinggi awam.

Ujarnya, PKPIM akan terus bersuara dan bekerjasama dengan semua pemegang taruh bagi memastikan agenda reformasi undang-undang pengajian tinggi dapat direalisasikan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!