CelcomDigi, SK Telecom meterai MoU bangunkan metaverse
CELCOMDIGI Berhad (CelcomDigi) dan SK Telecom pengendali telekomunikasi tanpa wayar Korea Selatan terkemuka telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka dan membangunkan platform metaverse mudah alih pertama di Malaysia yang diterajui oleh pengendali.
MOU berkenaan ditandatangani pada Kongres Dunia Mudah Alih 2023 di Barcelona oleh Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Berhad, Datuk Idham Nawawi dan Ketua Pegawai Eksekutif SK Telecom, Young-sang Ryu.
CelcomDigi dalam satu kenyataan berkata, di bawah MOU berkenaan, kedua-dua syarikat akan mencipta peluang perniagaan baharu menerusi kolaborasi untuk membangunkan dan menawarkan kes-kes kegunaan metaverse dan kecerdasan buatan (AI) yang dioptimumkan untuk pasaran Malaysia, melalui Pusat Inovasi CelcomDigi.
“Dengan memanfaatkan proses pengkomputeran pinggir untuk pengalaman kependaman yang terbaik, pembangunan platform metaverse mudah alih pertama di Malaysia yang diterajui oleh pengendali turut mendorong penciptaan bersama serta menawarkan kandungan dan perkhidmatan metaverse baharu untuk pelanggan dan perniagaan di Malaysia.
“CelcomDigi dan SK Telecom akan meneroka penciptaan perkhidmatan metaverse merentasi vertikal-vertikal seperti pendidikan, kesihatan, peruncitan dan hiburan sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekosistem metaverse di Malaysia,” jelas kenyataan itu.
Idham berkata, kerjasama itu akan menjadikan pihaknya pelopor dalam pembangunan perkhidmatan metaverse yang inovatif untuk Malaysia dengan memanfaatkan teknologi terkini, termasuk 5G.
“CelcomDigi sangat teruja untuk bekerjasama dengan syarikat ICT global terkemuka, SK Telecom untuk membangungkan ekosistem metaverse di Malaysia.
“Kerjasama ini adalah sebahagian daripada perjalanan kami untuk menjadi syarikat telekomunikasi dan teknologi yang terkemuka di Malaysia.
"Kami berazam untuk berpadu tenaga dengan lebih banyak organisasi tempatan untuk mencipta kes kegunaan inovatif yang akan menyemarakkan pertumbuhan ekonomi digital negara,” katanya.
Sementara itu, Ryu Youngsang berkata, ketika pihaknya melebarkan sayap ke pasaran global dengan platform Metaverse Ifland, syarikat-syarikat telekomunikasi utama di negara-negara dan rantau Asia Tenggara memainkan peranan penting sebagai rakan kongsi.
“Melangkah ke hadapan, kami akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat ini untuk mengembangkan skop perkhidmatan metaverse kami,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!