PN yakin anak muda tolak PH dalam PRN

Ir Khairil Nizam Khirudin
Ir Khairil Nizam Khirudin
A
A
A

KUANTAN - Perikatan Nasional (PN) yakin keangkuhan pemimpin Pakatan Harapan (PH) akan diterjemah dengan penolakan lebih ramai anak muda terhadap parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, keangkuhan itu dapat dilihat menerusi ucapan Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Nasution Ismail semasa Konvensyen PH Kedah pada 25 Februari lalu.

Menurutnya, ucapan tersebut seperti menghina pengundi muda serta menuduh mereka tidak berpelajaran kerana telah mengundi PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Kami mengambil serius ucapan Saifuddin dalam video yang tular di media sosial iaitu 'kecenderungan orang muda yang tinggi pelajaran dan stabil pendapatan mereka akan undi PH. Tetapi makna pelajaran yang tidak tinggi naik motor pi sana sini ini mereka bagi kepada Perikatan lah'."

"Ini bukan kali pertama pemimpin PH menghina pengundi muda. Jelas sekali mereka amat terkesan dengan penolakan pengundi muda terhadap PH pada PRU15.

"Kebangkitan anak-anak muda dari semua latar belakang menolak PH dan BN amat jelas, malah ramai dalam kalangan mereka ini adalah terpelajar dan bekerjaya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut menegaskan PN mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada semua anak muda di bandar dan luar bandar sebelum ini.

"Kami juga menghargai anak muda yang berada di luar negara yang telah memberikan sokongan kepada PN pada PRU15 lalu," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!