Beri peluang kontraktor tempatan baik pulih sekolah daif
KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu memberi peluang kepada kontraktor tempatan untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih sekolah-sekolah daif di Sabah.
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berkata, tindakan itu juga secara tidak langsung boleh merancakkan kembali ekonomi setempat.
“Dalam pembinaan sekolah-sekolah daif ini, galakkan kontraktor kelas F (tempatan), jangan lantik syarikat dari Kota Kinabalu buat sekolah di Semporna, bagi ruang kepada anak tempatan, usahawan di kampung dan daerah itu untuk laksanakan.
“Saya yakin dengan (peruntukan) RM500,000 atau RM1 juta, projek pembaikan mampu dilaksanakan oleh anak tempatan sebaik mungkin. Harap KPM (Kementerian Pendidikan) dapat pastikan supaya kemudahan dapat ditingkatkan,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Rabu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sejumlah RM1.2 bilion bagi pembaikan 400 klinik daif dan 380 sekolah daif dengan had sebut harga perolehan kerja pembaikan sehingga RM1 juta.
Dalam pada itu Mohd Shafie berkata, terdapat lebih 500 sekolah daif di Sabah yang tidak mempunyai kelengkapan asas seperti tandas dan bilik guru.
“Saya berpeluang untuk buat lawatan di (daerah) Pitas, Long Pasia. Tandas dan bilik guru pun tiada. Ketika itu saya bagi arahan (peruntukan) RM70,000 daripada kerajaan negeri untuk buat tandas dan bilik guru.
“Saya tanya guru-guru, macam mana anak-anak ini nak buang air. Mereka pergi ke hutan. (Walaupun) Tidak sedap untuk disebutkan, tetapi inilah yang berlaku di negara kita.
“Oleh itu saya harap bukan hanya kandungan prasarana (diutamakan) tetapi beri perhatian juga tentang tenaga kerja, guru-guru yang ada. Adakan susun atur kerana tidak mahu anak-anak kita jadi penganggur di kampung mereka atau berhijrah ke tempat lain,” katanya.
Mengenai Belanjawan 2023, bekas Menteri Kemajuan Luar dan Wilayah itu melahirkan kebimbangan terhadap sistem penyampai kerajaan bagi memastikan peruntukan yang disifatkan terbesar dalam sejarah negara itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Saya tidak pernah menyelami keadaan belanjawan yang begini besar, kebimbangan saya (adalah) kita bahas bulan Mac dan mungkin April akan diluluskan. (sekarang) Sudah hampir setengah tahun.
“Bayangakan hampir RM388 bilion yang perlu disiapkan dalam jangka masa yang pendek. (Persidangan) Dewan Negara belum mula lagi. Maka sistem penyampaian sangat cruetial,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!