Sisa makanan dijangka naik lebih 75,000 tan metrik Ramadan ini
KUALA LUMPUR - Malaysia berkemungkinan berhadapan dengan peningkatan lebih 75,000 tan metrik sisa makanan sempena Ramadan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ismail Mokhtar berkata, sisa makanan yang dihasilkan dijangka meningkat daripada kira-kira 17,000 tan metrik sehari pada bulan biasa kepada lebih 19,000 tan metrik sehari dalam bulan puasa.
Menurutnya, daripada 38,000 tan metrik sisa pepejal keseluruhan yang dikeluarkan setiap hari di seluruh Malaysia, sebanyak 44 peratus daripadanya adalah sisa makanan.
"Berdasarkan kajian kita pada tahun sebelumnya, (sisa makanan) pada musim perayaan biasanya meningkat 15 hingga 20 peratus dan ia trend yang tidak berubah sejak beberapa tahun lalu.
"Jadi ini cabaran kepada kita bagaimana nak kurangkan sisa ini dengan melaksanakan aktiviti 3R (Reduce, Reuse dan Recycle)," katanya ketika ditemui pemberita di tapak pelupusan sampah di Taman Danau Desa pada Rabu.
Justeru, beliau berkata, SWCorp akan mengambil inisiatif untuk mengadakan kempen kesedaran kepada peniaga dan pengunjung bagi mengurangkan penggunaan beg plastik di bazar Ramadan.
Ujarnya, kempen dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) itu melibatkan tujuh negeri di bawah seliaan SWCorp iaitu Kedah, Perlis, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur.
"Untuk pengunjung (pula), kalau boleh bawa bekas makanan sendiri ke bazar untuk kurangkan penggunaan beg plastik. Kita juga akan edarkan beg guna semula yang boleh digunakan berulang kali ke bazar Ramadan," jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai jumlah kakitangan yang akan menguruskan kerja-kerja pelupusan sampah, Ismail memberi jaminan bahawa jumlah pekerja adalah mencukupi untuk Ramadan dan musim perayaan akan datang.
"Saya yakin jumlah pekerja yang ada ketika ini cukup untuk kita uruskan dan SWCorp sememangnya tidak ada isu pekerja tidak cukup.
"Jumlah pekerja ketika ini keseluruhannya seramai 26,000 di tujuh buah negeri yang terdiri daripada sektor pembersihan awam dan sektor kutipan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!