PM ulangi pendirian kerajaan belum cadang laksana semula GST

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tetap dengan pendirian belum bercadang untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sistem cukai itu tidak akan dilaksanakan kerana cabaran ekonomi dijangka dihadapi pada 2023 iaitu kadar inflasi makanan yang agak tinggi serta kadar pertumbuhan ekonomi yang sederhana.

Menerusi jawapan bertulis pada Selasa, Anwar berkata, kerajaan akan mengkaji kesesuaian pengenalan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham syarikat yang tidak tersenarai di Bursa Malaysia mulai tahun 2024.

Beliau yang juga Perdana Menteri menjawab pertanyaan Datuk Seri Richard Riot (GPS-Serian) yang ingin tahu sama ada GST akan diperkenalkan semula dalam pentadbiran kerajaan perpaduan.

Tambah beliau, sebarang perubahan dasar kerajaan berkaitan cukai perlu mengambil kira kesan terhadap ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

"Sehubungan itu, Kerajaan sentiasa mengawasi kedudukan ekonomi semasa dan mempertimbangkan langkah-langkah fiskal yang bersesuaian dengan keperluan jangka pendek dan sederhana.

"Berhubung inisiatif cukai yang akan diambil dalam masa terdekat, kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2023 telah mengumumkan cadangan pengenaan cukai ke atas barangan mewah serta peluasan duti eksais ke atas produk berkaitan rokok elektronik dan vape pada tahun 2023," katanya lagi. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!