UMNO Perak sokong enam calon MKT

Saarani (empat dari kanan) pada sidang akhbar selepas melancarkan Bulan Wanita Perak 2023 dan Penyerahan Geran Penerbitan Ilmiah Perak Sejahtera 2030 di Pejabat Menteri Besar pada Rabu.
Saarani (empat dari kanan) pada sidang akhbar selepas melancarkan Bulan Wanita Perak 2023 dan Penyerahan Geran Penerbitan Ilmiah Perak Sejahtera 2030 di Pejabat Menteri Besar pada Rabu.
A
A
A

IPOH - UMNO Perak menyokong kesemua enam calon yang telah menghantar nama bagi merebut jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada pemilihan parti itu bulan ini.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, calon tersebut merupakan Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Naib Ketua UMNO Bahagian Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur, Datuk Azian Osman.

"Selain itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun; Ketua Pemuda UMNO Perak, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid dan Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad.

"Mereka memaklumkan telah menghantar dan mendaftar nama menjadi calon MKT. Sudah tentu UMNO Perak menyokong mereka," katanya kepada pemberita pada Majlis Prapelancaran Bulan Wanita Perak 2023 dan Penyerahan Geran Penerbitan Ilmiah Perak Sejahtera 2030 di Pejabat Menteri Besar di sini pada Rabu.

Saarani yang juga menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Lenggong itu turut menasihatkan kepada semua calon untuk bersaing secara sihat sepanjang proses pemilihan itu.

"Kalau ada manifesto, barangkali boleh sebutlah apakah yang akan kita buat kalau kita diberi mandat tanpa perlu kita menyindir, tanpa perlu kita melakukan hati orang, tanpa perlu kita menidakkan jasa yang telah dibuat oleh orang lain.

"Kita juga ada kelemahan dan kelebihan. Jadi itulah sebaik-baiknya kita hendak memimpin. Dan ingatan saya sekali lagi, jangan kita saling melondehkan antara satu sama lain," katanya.

Tambah beliau, sebagai parti yang mengamalkan demokrasi, UMNO membenarkan setiap ahlinya untuk menawarkan khidmat masing-masing kepada parti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!