Bandar Kota Tinggi ditenggelami air
KOTA TINGGI - Banjir di daerah ini bertambah teruk susulan hujan sejak Selasa, menyebabkan kawasan bandar Kota Tinggi dinaiki air.
Tinjauan di bandar Kota Tinggi mendapati laluan menuju ke bandar Kota Tinggi berdekatan sebuah pusat membeli belah, tidak dapat dilalui selepas air naik 0.5 hingga 1.2 meter.
Pekerja restoran, Hafiz Abu Samad, 34, berkata banjir kali ini tidak seburuk yang pernah berlaku pada tahun 2006 dan 2007.
"Hari ini restoran tempat saya kerja di bandar Kota Tinggi ditutup susulan banjir yang melanda.
"Apabila banjir berlaku, orang Kota Tinggi mesti akan ingat kejadian banjir 16 tahun yang mana banjir teruk menenggelamkan bandar berlaku ketika itu," katanya.
Pembantu kedai, Norliyah Yusof, 51 berkata, walaupun banjir kali ini tidak seburuk pada tahun 2007, namun beliau tetap bimbang keadaan paras air akan meningkat disebabkan hujan dan air pasang.
"Saya risau tidak dapat tidur malam tadi, sebab hujan tidak berhenti sejak pagi. Selain itu kejadian banjir besar yang pernah melanda 16 tahun lalu, membuatkan penduduk berjaga- jaga.
"Mudah-mudahan air cepat surut dan jalan untuk bandar Kota Tinggi dapat dilalui," Katanya.
Pekerja ladang, Roslan Dahlan, 48, berkata selain kawasan bandar yang dinaiki air, beberapa taman perumahan di sekitar bandar turut terjejas dinaiki air.
"Jika hujan lebat tidak berhenti, kami penduduk risau air Sungai Johor akan melimpah sekali gus menenggelamkan pusat bandar.
"Diharapkan Empagan Semanggar tidak melepaskan air kerana jika air empangan dilepaskan, pusat bandar ini akan tenggelam.
"Kejadian banjir besar pada 2006, 2007 masih belum dilupakan penduduk dan kami berharap mudah-mudahan banjir cepat reda," katanya
Setakat jam 12 tengah hari pada Rabu, daerah Kota Tinggi merekodkan seramai 1,156 mangsa banjir daripada 259 keluarga ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!