Bot Jabatan Perikanan Johor hilang: Empat kru dikenal pasti
KUALA LUMPUR - Empat kru bot Jabatan Perikanan Johor yang dilaporkan hilang pada Selasa sudah dikenal pasti.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, mereka adalah Fatimah Razak, 36, Zaharin Baharudin, 37; Halim Sanip, 52; dan Marzuki Jusuh, 53.
Beliau berkata, kejadian berlaku ketika kesemua mangsa dalam perjalanan menuju ke Pangkalan Tampoi bagi menyertai rondaan bersama Polis Marin.
"Bot itu diketuai Fatimah sebagai pegawai pemerintah dan berlepas dari jeti Tanjung Pengelih menuju ke Pangkalan Utama Perlindungan Sumber, Tampoi.
"Bagaimanapun kira-kira jam 4 petang semalam (Selasa), bot itu terputus hubungan dengan Jabatan Perikanan Johor dan tidak dapat dihubungi atau dikesan hingga kini," katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Rabu.
Sebelum ini media melaporkan, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan mengenai bot hilang itu daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 pada jam 7.51 malam Selasa.
Dalam pada itu Mohamad berkata, operasi pencarian dan menyelamat (SAR) telah digerakkan dengan diketuai oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) melibatkan PPM, Police Operations Command Centre (POCC) Singapura dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia.
“Saya sendiri telah menghubungi dan bercakap dengan kesemua waris mangsa pagi tadi dan telah mengarahkan Jabatan Perikanan untuk memberikan bantuan sewajarnya kepada mereka.
“Dikesempatan ini saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mendoakan keselamatan mangsa dan berharap mereka akan segera ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.
Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) APMM, Laksanmana Madya Datuk Saiful Lizan Ibrahim memaklumkan, bot tersebut dipercayai hilang di perairan Tuas, Singapura.
“Mengikut maklumat terakhir mengenai lokasi bot PL87 yang kita dapat daripada Singapore Cost Guard, sekitar di perairan Tuas pada pukul 3 petang semalam menuju ke Tanjung Piai sebelah Barat, lima batu nautika perairan Tuas.
“Bot ini kemungkinan mengalami kerosakan dan hanyut (kerana) seperti yang sedia maklum, petang semalam cuaca di perairan Johor Selatan hujan lebat, ada kebarangkalian berlaku kerosakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!