Falcao hanya selangkah sertai keluarga JDT
PENYERANG sensasi Colombia, Radamel Falcao dilaporkan bersedia untuk menyertai keluarga besar penyandang juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT).
Pada ketika ini pemain berusia 37 tahun itu terikat bersama kelab Sepanyol, Rayo Vallecano sejak 2021 dengan kontrak bakal berakhir Jun depan.
Media Sepanyol Marca melaporkan bekas pemain River Plate (Argentina), Porto (Portugal) Atlético Madrid (Sepanyol), Monaco (Perancis), Manchester United (England), Chelsea (England) dan Galatasaray (Turkiye) itu mahu menggalas cabaran baharu bersama Harimau Selatan.
Malah Marca turut mendakwa Falcao sedang menilai tawaran untuk menandatangani kontrak bersama JDT kendalian Esteban Solari.
“JDT yang dimiliki oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu menandatangani penyerang Colombia itu selama dua musim dan dia akan menjadi duta buat kelab dan bandar itu,” menurut Marca.
Untuk rekod, Falcao akan menjadi pemain berprofil tinggi kedua menyarung jersi Harimau Selatan selepas Pablo Aimar pada 2013 sekiranya perkhabaran ini menjadi kenyataan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!