MAH Negeri Sembilan akui tempahan hotel berkurangan
PORT DICKSON - Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan mengakui tempahan hotel di negeri ini sepanjang cuti persekolahan kali ini agak berkurangan berbanding sebelum ini.
Pengerusinya Haziz Hassan berkata, ia kemungkinan disebabkan orang ramai memilih untuk berjimat kerana perlu membuat persiapan persekolahan anak-anak dan diikuti dengan kedatangan bulan Ramadan.
"Ia ditambah pula dengan keadaan ekonomi tidak menentu sekarang dan harga barang naik yang membuatkan ramai terkesan.
"Jadi saya tidak nafikan laporan mengatakan pantai Port Dickson lengang cuti sekolah kali ini kerana kami di industri hotel pun turut merasakan yang sama apabila tempahan hotel kurang meriah berbanding cuti sekolah sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Ditanya sama ada isu khemah di Pantai Teluk Kemang faktor orang ramai tidak mahu datang ke situ, beliau berkata, sememangnya kehadiran banyak khemah di situ mengganggu keselesaan pengunjung, namun ia bukan faktor utama jika pengunjung tidak mahu datang ke situ.
Bagaimanapun katanya, apabila isu khemah itu diperkatakan semula di media sosial ia boleh mengundang persepsi negatif masyarakat kepada pantai peranginan terbabit.
"Saya pun baca di media sosial netizen merungut soal khemah dan setahu saya isu ini sudah lama, namun ia masih diperkatakan.
"Yalah, ada pengunjung perlukan khemah tetapi ada yang lebih selesa membentang tikar saja sambil menikmati pemandangan. Semestinya mereka rasa terganggu dengan khemah yang banyak dipasang di situ," katanya.
Sehubungan itu katanya, Majlis Perbandaran Port Dickson diharap dapat mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani isu tersebut bukannya sekadar melaksanakan penguatkuasaan semata-mata.
Tambahnya, ia perlu bagi mengelakkan imej Port Dickson sebagai kawasan pelancongan pilihan terjejas hanya kerana isu khemah.
Ends.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!