KPM tentukan status 89 calon SPM terkandas di Johor
KOTA TINGGI - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menentukan status 89 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini yang terkandas akibat banjir dan tidak dapat menduduki peperiksaan pada Rabu.
Exco Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) sudah menghantar laporan penuh berhubung kejadian membabitkan 89 pelajar tersebut kepada pihak kementerian.
"Berhubung peperiksaan ulangan untuk calon-calon berkenaan ia akan diputuskan oleh KPM. JPNJ akan berhubung rapat bagi memaklumkan situasi banjir di negeri ini agar calon SPM dapat dibantu sekiranya banjir berpanjangan dan jalan ditutup.
"Kerajaan negeri turut membantu pelajar yang terkandas itu dengan menempatkan mereka di pusat pemindahan sementara (PPS) supaya dapat menduduki peperiksaan bagi subjek seterusnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau keadaan mangsa banjir PPS di Sekolah Kebangsaan Laksamana pada Rabu.
Norlizah memberitahu sebanyak 13 buah sekolah di negeri ini tidak dapat digunakan sebagai PPS kerana dijadikan pusat peperiksaan SPM.
Selain itu katanya, kerajaan negeri turut meminta bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu calon SPM ke pusat peperiksaan.
"Bagi daerah Kota Tinggi, anggota tentera membantu menghantar calon SPM ke pusat peperiksaan berikutan terdapat jalan yang dinaiki air.
"Terima kasih kepada ATM kerana menghantar aset mereka termasuk trak dan anggota bagi membantu calon SPM di daerah ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!