Dua kali ‘berpantang’ di PPS
SKUDAI - Dua kali menjalani tempoh ‘berpantang’ di pusat pemindahan banjir (PPS), pastinya menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat oleh Suria Ismail, 38 dan suami, Rashid Sanip, 42.
Menurut Suria ketika melahirkan anak sulungnya pada 2020 lalu, dia telah menjalani tempoh berpantang selama beberapa hari di PPS kerana kawasan rumahnya di Kampung Sepakat Baru, Skudai ketika itu dinaiki air akibat banjir.
Bagaimanapun katanya, peristiwa berkenaan juga dianggap sebagai ‘rezeki’ buat mereka kerana ia merupakan satu pengalaman unik dan tidak berlaku kepada semua orang.
“Masa anak pertama (lahir) dulu, tahun 2020..balik ke rumah banjir. Masa tu kena mengemas dengan bawa dia (anak), bawa perut dengan cuaca macam ni (hujan), ke PPS. Hati memang sedih sikitlah masa tu.
“Yang kedua ni pun sama juga. Tapi anak saya ni lahir 14 Februari, tapi kena juga datang ke PPS sebab banjir.
“Jadi, benda ni akan jadi kenanganlah buat kami, dan saya akan ceritakan balik (nanti), masa dia orang (anak) lahir, banjir berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.
Untuk rekod Suria merupakan antara tiga wanita yang dilaporkan menjalani tempoh ‘berpantang’ di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Skudai susulan banjir yang melanda tiga kampung melibatkan Kampung SK, Kampung Sepakat Baru dan Kampung Skudai Laut dekat sini.
Dalam pada itu, suaminya, Rashid Sanip, 42, berkata, dia pada mulanya tidak menyangka kedua-dua anaknya itu lahir ketika banjir melanda kediaman mereka.
Bagaimanapun katanya, perkara berkenaan dilihat sebagai satu rahmat dan juga rezeki daripada ALLAH SWT kepadanya sekeluarga.
“Saya pun tak terkejut jugaklah,.anak pertama banjir, yang kedua pun sama juga; rahmat pun rahmat jugalah dan mungkin dah rezeki kami macam tu,” katanya.
Bagi T Hashimi Mohd Elias, 40, dari Kampung Laut Skudai pula, mengakui seakan tidak tidak percaya anak ketiganya terpaksa berada di PPS berkenaan selepas dilahirkan pada 25 Februari lalu.
Dia berkata, ketika isterinya, Hartuty Haryanto, 34, melahirkan kedua-dua anaknya yang kini berusia sembilan dan enam tahun, namun tidak berlaku banjir di kawasan berkenaan.
“Sebelum ini banjir pun, hanya sedikit tetapi sekarang ini air naik agak tinggi, lebih sedih apabila (anak) baharu berusia empat hari, sudah kena bawa ke sini.
“Saya pun ada buat kerja sikit bagi selamatkan barang rumah, tapi ada yang tak dapat selamatkan..tapi paling sedih baby (anak) saya ni lah.
“Tahun 2022 hujung tahun banjir, tapi tak bawa anak ke sini sebab baru seminggu (lahir), kakak jaga di rumah dia.
“Cuma baru tahun ni, bawa dia (anak) duduk di sini...bagi saya semua yang ada di sini ok, dia nak tidur pun selesa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!