Musim peperiksaan punca pantai Port Dickson suram

Pemandangan udara di sekitar persisiran pantai peranginan Port Dickson lengang walaupun ketika musim cuti persekolahan. (Gambar kecil: Aminuddin
Pemandangan udara di sekitar persisiran pantai peranginan Port Dickson lengang walaupun ketika musim cuti persekolahan. (Gambar kecil: Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun tidak menolak musim peperiksaan awam sekolah yang sedang berjalan ketika ini dilihat antara punca pantai peranginan Port Dickson kurang pengunjung walaupun pada waktu cuti persekolahan.

Malah jelasnya, cuti persekolahan kali ini berbeza berbanding sebelum ini kerana turut berlangsungnya peperiksaan melibatkan pelajar dan guru-guru.

"Saya rasa sebab minggu peperiksaan dan kita juga baru selesai cuti Tahun Baharu Cina, malah ada juga sudah bersedia untuk ketibaan bulan Ramadan. Itu pendapat sayalah.

"Bagaimanapun, saya yakin Port Dickson akan pulih seperti biasa selepas ini," katanya pada sidang akhbar selepas selesai mempengerusikan Pasca Mesyuarat Mingguan Exco di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengingatkan kepada pengusaha sewaan khemah di pantai peranginan Port Dickson supaya sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Katanya, ia berikutan masih terdapat pengusaha yang tidak mengikut peraturan tersebut.

“Kita benarkan mereka menyewakan khemah-khemah kepada pengunjung tetapi mestilah mengikut peraturan iaitu tidak memaksa orang untuk menyewa.

"Selain itu, apabila khemah berkenaan tidak digunakan, ia mestilah ditutup semula. Sekarang mereka salah guna, pasang khemah dulu. Itu masalahnya. Kalau di Thailand pun ada khemah macam itu, tetapi kalau ada yang nak baru buka," katanya.

Media sebelum ini melaporkan suasana di pantai peranginan Port Dickson suram daripada kehadiran pengunjung walaupun musim cuti persekolahan sudah bermula minggu lalu.

Ada yang mendakwa pemasangan khemah biru di sepanjang pantai Telok Kemang antara punca pengunjung enggan bercuti di kawasan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!