4 kru bot Jabatan Perikanan Johor hilang ditemui selamat

Nurul Hizam
Nurul Hizam
A
A
A

JOHOR BAHRU – Bot PL87 bersama empat kru daripada Jabatan Perikanan Johor yang dilaporkan hilang pada malam Selasa, ditemui selamat di perairan Indonesia, pada petang Rabu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kesemua kru bot berkenaan ditemui oleh kapal KRI Sigalu 857 milik Tentera Nasional Indonesia (TNI) sekitar 1.40 petang.

Katanya, ketika ditemui, bot berkenaan berada pada kedudukan 23 batu nautika tenggara Tanjung Piai di perairan kepulauan Batam.

“Bot berkenaan dipercayai telah mengalami kerosakan mengakibatkan mereka hanyut sebelum ditemui petang tadi.

“Kesemua kru dilaporkan dalam keadaan sihat serta selamat ketika ditemui dan urusan penghantaran mereka sedang diuruskan.

“Pihak Pusat Kawalan Operasi Maritim (MRSC) Johor Bahru mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat sepanjang Op Carilamat ini,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Bot Jabatan Perikanan Johor yang dilaporkan hilang.
Bot Jabatan Perikanan Johor yang dilaporkan hilang.

Sebelum ini, bot PL87 bersama empat kru daripada Jabatan Perikanan Johor diketuai Fatimah Razak, 36, Zaharin Baharuddin, 33, Abd Halim Sanip, 52, dan Mohd Marzuki Jusuh, 53, dilaporkan berlepas keluar dari Tanjung Pengelih sekitar jam 12 tengah hari, Selasa.

Bagaimanapun, bot yang dijadualkan tiba di Pengkalan Tampoi pada 6.30 petang Selasa, tidak tiba sebagaimana yang dijadualkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!