Polis Johor gerakkan pegawai, anggota ke daerah terjejas banjir
JOHOR BAHRU – Polis Kontinjen Johor telah menggerakkan pegawai dan anggota ke seluruh daerah di negeri ini yang terjejas akibat banjir.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihak polis turut mendapat bantuan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi tujuan sama.
Menurutnya, pihak polis turut mendapat bantuan daripada pihak Sahabat bagi operasi menyelamat dan memindahkan mangsa-mangsa banjir berkenaan.
“Polis Kontinjen Johor memaklumkan sehingga jam 4 petang, bencana banjir telah berlaku di sembilan daerah dalam negeri Johor.
“Antara daerah yang terlibat adalah Segamat, Seri Alam, Johor Bahru Utara, Johor Bahru Selatan, Kluang, Kulai, Pontian, Kota Tinggi dan Batu Pahat.
“Seramai 6,773 mangsa dilaporkan terjejas dan ditempatkan di 45 pusat pemindahan sementara (PPS) ketika ini,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Sementara itu dalam kenyataan media sama, Kamarul Zaman turut menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan keadaan hujan yang dijangka berterusan.
Beliau berkata, orang ramai juga diminta mematuhi arahan berpindah daripada pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamatkan mangsa-mangsa banjir.
“Polis kontinjen Johor juga akan memastikan keselamatan rumah dan barangan yang ditinggalkan semasa berada di PPS.
“Polis juga akan sentiasa memantau dan memberikan bantuan kepada mana-mana pihak yang memerlukan bantuan semasa banjir,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!