Putra terbuka terima Pejuang - Tun M

Dr Mahathir (tiga dari kiri) ketika menerima watikah pelantikan sebagai Penasihat Putra.
Dr Mahathir (tiga dari kiri) ketika menerima watikah pelantikan sebagai Penasihat Putra.
A
A
A

PUTRAJAYA - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tidak akan menutup pintu kepada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sekiranya mahu menyertai parti tersebut.

Penasihatnya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, adalah lebih baik parti pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyertai Putra sekiranya memperjuangkan hak-hak Melayu.

“Kalau Pejuang nak bersama dengan kita, sama-sama berjuang dengan orang Melayu, lebih baik sokong gerakan kita.

“Bukan nak cari kerusi dengan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada pemberita semasa Majlis Penyerahan Kad Keahlian dan Watikah Penasihat Putra di sini pada Rabu.

Dr Mahathir pada Rabu secara sah telah menyertai parti tersebut dan dilantik sebagai penasihat setelah beliau mengumumkan keluar Pejuang pada 10 Februari lalu.

Menurut satu notis kepada Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah, keputusan itu dibuat berikutan tindakan parti berkenaan memutuskan hubungan dengan Gerakan Tanah Air (GTA).

Sebelum ini, perwakilan Pejuang mengumumkan tarik diri daripada GTA, pada mesyuarat agung kedua parti itu, 14 Januari lalu.

Presidennya, Mukhriz berkata, keputusan itu membolehkan Pejuang mempunyai sedikit masa untuk mengukuhkan parti dalam banyak perkara, sebelum ia benar-benar dapat memberi nilai tambah kepada mana-mana parti dalam gabungan berkenaan.

Sementara itu, Dr Mahathir menjelaskan keputusan beliau menyertai Putra adalah kerana ingin meneruskan perjuangannya untuk orang Melayu.

“Saya mesti ada satu platform untuk nak jalankan perjuangan saya. Sebab itu saya diterima oleh Putra untuk jadi ahli.

“Walaupun umur saya sudah 97 tahun, tetapi hati saya ini masih lagi dengan perjuangkan orang Melayu. Perjuangan ini untuk orang Melayu. Parti cuma alat sahaja,” jelasnya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kedudukan kaum terbesar di negara ini yang sedang menghadapi pelbagai masalah.

“Mereka sekarang ini tidak menguasai ekonomi. Ekonomi dikuasai oleh orang lain.

"Dulu kita menguasai politik, dulu UMNO memimpin kerajaan, tetapi sekarang jadi parti kecil. Ikut orang lain. Tidak boleh berjuang untuk orang Melayu, mesti fikir tentang orang lain,” ujarnya.

Tambah bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, perniagaan kecil-kecilan yang dahulunya didominasi oleh Melayu turut dikuasai oleh pendatang.

“Sekarang ini, gerai orang Melayu sudah dibeli oleh pendatang. Dan merekalah yang menguasai perniagaan kecil-kecilan. Apa yang tinggal untuk orang Melayu? Tidak ada apa,” katanya.

Jelas Dr Mahathir, sekiranya Melayu tidak diselamatkan, masalah kepincangan akan berlaku kerana agihan kekayaan negara tidak diberi sama rata.

“Bagi saya, kalau orang Melayu masih lagi berpecah, berlawan sesama sendiri, tidak menguasai ekonomi, politik, ekonomi kecil-kecilan pun tiada, saya ingat masa depan amat gelap,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!